|
24th June, 2012
MENGGATAL: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman meminta semua pemimpin Barisan Nasional (BN) di Sabah supaya bersatu hati, bekerjasama dan saling bantu membantu antara satu sama lain.
Beliau berkata ia penting bagi mengelak perkara tidak baik yang merugikan diri sendiri, parti, rakyat dan negeri.
“Kita harus bersatu hati, bekerjasama dan mestilah saling bantu membantu antara satu sama lain. Jangan ada perkara yang tidak baik yang boleh merugikan kita, merugikan parti, rakyat dan negeri.
“Kita mahu bekerjasama dan mahu rakyat mendapat pembelaan sewajarnya. Pemimpin sering bertukar ganti tetapi apa yang penting ialah perjuangan kita dalam parti mestilah ikhlas dan jujur. Kalau kita perjuangkan BN untuk rakyat, bangsa dan negara InsyAllah kita akan diberi sokongan oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun SMK Tebobon, di sini, kelmarin.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Jainab Ahmad, Adun Inanam Datuk Johnny Goh, Pengetua Cemerlang Sekolah itu Loh Kok Cheang dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu Sakka Matta.
Musa yang juga pengerusi BN negeri berkata demikian ketika ditanya nasihatnya kepada pemimpin BN yang hanya berpijak sebelah kaki dalam BN.
Beliau turut meminta semua pemimpin BN supaya bersikap jujur, ikhlas dan setia dalam perjuangan mereka.
“Kita dalam BN haruslah mendokong prinsip BN … jangan kata sokong BN tapi cakap lain, “cakap tidak serupa bikin”.
“Saya selalu nasihatkan rakan-rakan, kawan-kawan dan pemimpin BN, Umno atau parti komponen BN yang lain, kita mesti bersatu padu dan apa sahaja masalah yang ada, kita boleh rujuk dan bincang bersama…itu cara kita.
“Setiap kali berjumpa dengan pemimpin-pemimpin BN kalau mereka ada masalah, kita akan bincang bersama dan Alhamdulilah nampaknya kita boleh selesaikan…yang tidak dapat diselesaikan kita akan rujuk ke atas,” katanya.
Beliau percaya Perdana Menteri selaku pengerusi BN pusat sentiasa peka dan prihatin terhadap kepentingan rakyat.
“Beliau (Najib) memang sentiasa memberi sokongan dan dokongan yang begitu baik. Kita sentiasa berterima kasih dan bersyukur,” katanya.
Musa berkata, rakyat kini bijak dan pandai menilai sama ada seorang pemimpin itu jujur, ikhlas dan berjuang untuk rakyat atau sebaliknya.
“Oleh itu, kita harus memastikan kita akan berjuang untuk rakyat demi kebaikan bersama,” katanya.
|