|
22nd June, 2012
TUARAN: Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela ) merupakan benteng pertahanan ketiga negara dan pemangkin kegiatan masyarakat selain menjadi mata dan telinga kerajaan.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Mojilip Bumburing berkata penubuhan Rela membolehkan rakyat jelata untuk secara ‘rela’ tampil menganggotai sebuah pasukan sukarela bagi membantu memelihara dan mengekalkan keselamatan dan keamanan negara.
“Pasti ramai yang menggelengkan kepala jika diminta menganggotai pasukan sukarela lebih-lebih lagi jika memikirkan ganjaran yang tidak setimpal, malah terpaksa berkorban masa dalam memastikan keamanan negara terjamin,” ujar Mojilip.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gotong-Royong Rela Kawasan Tenghilan, Tuaran di Dewan Belia Pekan Tenghilan, dekat sini baru-baru ini.
Katanya, bagi orang awam yang mempunyai semangat patriotisme tinggi dan mempunyai perasaan ingin bersama-sama membantu menjaga keamanan dan ketenteraman negara, ternyata mereka ‘Rela’ menjadi pilihan.
Menurutnya, pasukan Rela wajar dipuji dan dikagumi kerana sungguhpun diketahui umum bahawa jumlah elaun yang diterima pasukan ini tidaklah sebanyak mana, namun semangat kerja sama dan peranan mereka yang tampak berkesan untuk menjaga keselamatan rakyat walau di mana sahaja mereka ditugaskan.
“Perkara yang paling utama kita ingin lihat seperti yang tertera di bawah Seksyen 2, Akta (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1964, Yang Di Pertuan Agong telah memperkenan dan meluluskan pindaan Peraturan-peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) (Pindaan) 2005 yang berkuatkuasa mulai 01 Februari 2005 iaitu untuk memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada Pegawai RELA di dalam menangani masalah Pendatang Asing Tanpa Izin.
Terdahulu, Kpt (RELA) Baser Same yang mewakili Penolong Pegawai RELA Daerah Tuaran Mejar (RELA) Amrin Mat berkata selain sebagai mata dan telinga kerajaan, pasukan RELA juga adalah penggerak dan pelopor pembangunan sosio ekonomi masyarakat setempat dan penggerak aktiviti masyarakat. Rela dianggotai masyarakat pelbagai kaum.
“Dalam erti kata lain, anggota Rela merupakan pencetus idea dan pemangkin kepada segala aktiviti kemasyarakatan dalam usaha menjadikan perpaduan rakyat yang berbilang bangsa di negara ini berterusan supaya negara kekal aman, harmoni dan sejahtera,” katanya.
Tambahnya lagi, pasukan benteng pertahanan ketiga negara ini adalah selepas polis dan tentera, justeru peranan dan fungsi RELA semakin berkembang selaras dengan pembangunan yang dikecapi negara pada masa kini.
“Setiap anggota RELA kini dilengkapi dengan pelbagai pengetahuan serta diterapkan dengan asas pertahanan supaya bersedia menghadapi sebarang ancaman.
Baser, yang mewakili RELA di kawasan tersebut turut mempelawa orang ramai yang berumur 16 tahun ke atas untuk menyertai pasukan ini.
Katanya, anggota RELA akan mendapat perlindungan insurans percuma, kemudahan pakaian seragam, rawatan di hospital-hospital kerajaan, peluang mengikuti kursus-kursus di pusat-pusat latihan RELA selain dapat berbakti kepada negara dan masyarakat.
Selain program gotong-royong yang disertai seramai 130 ahli RELA di kawasan tersebut selama sehari, mereka turut mengadakan latihan kawad sambil disaksikan oleh para tetamu kehormat.
Turut hadir Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka Malaysia (Amanah) Ranting Tamparuli, Thony Julian, Pegawai Perhubungan Parlimen Tuaran Denis Gimpah, Ketua Perhubungan RELA Tamparuli Kpt ® Jinar Desmon, Kpt ® Mohd. Reduan Osman, Kpt ® Budiman Gambor dan 30 Ketua Platun RELA di kawasan tersebut.
|