|
18th June, 2012
KOTA KINABALU: Seorang surirumah berbangsa Sepanyol akhirnya berjaya memenuhi cita-citanya sebagai seorang jurugambar sejak menetap di Sabah kira-kira tiga tahun lalu.
Beliau yang meminati bidang fotografi sejak zaman kecil di kampung halamannya di Perancis kini berpeluang mengambil pelbagai gambar yang menarik selama berada di Sabah.
Nathalie Heidel atau lebih dikenali sebagai Diaz, 38, yang bekerja sepenuh masa sebagai guru tari tidak mempunyai masa terluang mengambil gambar semasa tinggal di negaranya.
“Saya sungguh gembira akhirnya saya dapat memenuhi cita-cita sebagai jurugambar sepenuh masa sekarang dan berpeluang mengambil foto penduduk tempatan pelbagai kaum dan budaya serta tempat percutian yang menarik di Sabah,” Nathalie memberitahu wartawan New Sabah Times kelmarin.
Beliau berkata kesemua gambar-gambar yang telah diambil akan dijual kepada peminat fotografi dalam pameran fotografi yang beliau adakan buat pertama kali di Kota Kinabalu.
Nathalie menyeru peminat fotografi datang semasa pameran jualan itu yang diadakan dari 16 hingga 30 Jun ini.
Pameran fotografi akan diadakan di El Centro Café terletak di Jalan Pantai berhadapan dengan Wisma Merdeka.
El Centro Café merupakan tempat pertemuan warga Eropah yang tinggal di negeri ini terutama sekali dikalangan warga Perancis.
“Sebilangan daripada hasil jualan fotografi itu akan saya dermakan kepada kanak-kanak autistik,” kata Nathalie.
Kebanyakan fotografi yang diambil oleh Nathalie merupakan koleksi menarik menampilkan wajah-wajah warga tempatan pelbagai kaum di Pulau Mantanani, Pulau Mabul, Kudat, serta pulau-pulau percutian yang menarik.
“Sabah merupakan pilihan utama kepada pelancong Eropah dan negeri yang selamat di rantau Asia dengan lanskap yang menarik dengan layanan mesra daripada penduduk tempatan dan sentiasa bersedia membantu,” tambah Nathalie.
Nathalie berkata pelancong asing merasa selamat ketika bercuti di Sabah memandangkan pelbagai agensi penguatkuasa Malaysia termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang mempamerkan tugas cemerlang dan sentiasa membuat rondaan 24 jam di kawasan awam.
“Selama saya berada di Sabah, saya tidak pernah menghadapi masalah keselamatan dan saya merasa bebas bergerak dari satu tempat ke lain destinasi tanpa merasa takut atas aspek keselamatan,” tambah Nathalie.
|