|
18th June, 2012
KOTA KINABALU: Masyarakat Cina Sabah berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman kerana telah menyalurkan peruntukan jutaan ringgit setiap tahun kepada sekolah-sekolah Cina dan gereja Kristian di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr.Yee Moh Chai berkata, ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Ketua Menteri (Datuk Seri Musa) adalah adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat.
“Oleh itu saya menyeru semua masyarakat Cina agar menyokong Barisan Nasional kerana hanya Barisan Nasional sahaja yang dapat memberi kesejahteraan hidup kepada semua rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis Kad Hari Guru Peringkat Negeri di Magellan Sutera, di sini, kelmarin.
Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Tun Said, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Dr.Muhiddin Yusin dan menteri-menteri kabinet negeri, guru-guru dan para pelajar.
Yee yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat berkata, rakyat Sabah di bawah kepimpinan Musa dan BN dapat berkongsi rahmat tidak kira bangsa, keturunan mahupun agama.
Katanya, ini kerana setiap tahun Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan banyak untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan taraf infrastruktur di negeri ini tidak kira sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Beliau turut berterima kasih kepada Datin Rosmah Mansor atas inisiatif sebagai penggerak utama pelaksana projek perintis Permata yang memberi penekanan bahawa pembentukan insan cemerlang seharusnya dipupuk pada usia kanak-kanak.
“Inilah yang telah membawa kepada lahir- nya sebuah konsep menganggap setiap anak yang dilahirkan adalah sebutir permata untuk negara.
“Saya amat kagum dengan usaha beliau yang tidak kenal penat dan jemu dalam menangani isu-isu sosial dan menggalakkan pembangunan optimum berhubung potensi belia dan kanak-kanak di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur merangkap Pengerusi Persatuan Guru-Guru Cina Sabah Datuk Eng Thiam Leong, berkata pertandingan seumpama itu diilhamkan oleh Datuk Dr.Yee dan dilaksanakan sejak tahun 2005.
“Semua karya pemenang telah dicetak menjadi Kad Ucapan Hari Guru dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina yang diedarkan ke semua sekolah iaitu sekolah rendah dan menengah seluruh Sabah,” katanya.
Katanya lagi, tahun ini sebanyak 200,00 keping Kad Ucapan Hari Guru telah dicetak atas tajaan Eduspec Holding Berhad.
“Kita sebagai rakyat negara ini amat bertuah kerana Malaysia mempunyai kekuatan fizikal, ekonomi dan pemimpin yang berani lagi berpandangan jauh.
“Semuanya terjamin kerana Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang begitu berwibawa serta prihatin terhadap rakyatnya,” katanya.
Eng turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas komitmen terhadap pendidikan dan meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengira agama dan keturunan.
|