|
17th June, 2012
TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera ringan setelah motosikal yang mereka tunggangi dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta di Kilometer 40, Jalan Apas, pada Jumaat.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Rostam Andro, 35, manakala yang cedera pula dikenali sebagai Ramdan Mardani, 20-an.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Keong Ho Eng berkata, kedua-dua mangsa didapati tidak memakai topi keledar dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 11.30 malam itu.
Ketika kejadian katanya, kedua-dua mangsa sedang menghala ke Kilometer 50, Balung dari arah bandar dan keadaan jalan ketika itu agak gelap kerana ketiadaan lampu jalan sekaligus menghadkan penglihatan pemandu.
Polis katanya sedang menyiasat sama ada penunggang dan pemandu kenderaan terbabit berada di bawah pengaruh alkohol semasa kemalangan berlaku dan sampel darah mereka sudah diambil untuk diuji.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan.
Pemandu kereta terbabit katanya tidak mengalami kecederaan serius dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
|