|
14th June, 2012
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 395 unit bahan letupan dan empat gulung sumbu yang dipercayai adalah komponen untuk aktiviti mengebom ikan, dalam Ops Landai di Pulau Bum-Bum, kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM, ASP Mat Zawawi Mat Yaacob berkata, kesemua barang rampasan itu ditemui di satu kawasan berair berdekatan sebuah rumah di pulau itu, ketika serbuan dilakukan.
Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan dilakukan berhubung penemuan kesemua peledak dan sumbu terbabit kerana pemiliknya dipercayai sudahpun melarikan diri.
“Tujuan operasi ini dijalankan adalah untuk memerangi dan membanteras aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan bahan letupan dan operasi sebegini akan dijalankan secara berterusan oleh PPM.
“Pihak kami memerlukan kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat tentang aktiviti sedemikian mahupun aktiviti jenayah di pulau-pulau atau pesisiran pantai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jelasnya, kes penemuan komponen bom ikan itu akan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan dan dalam operasi sama katanya, lapan lelaki warga asing turut ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen diri.
|