|
14th June, 2012
KOTA KINABALU: Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bakal diwujudkan di kawasan Inanam, kata Adun Inanam, Datuk Johnny Goh.
Penubuhan PDK di Inanam ini bertujuan memudahkan lagi golongan kurang upaya (OKU) yang tinggal di kawasan tersebut bagi mendapatkan latihan dan rawatan pemulihan.
“Saya dapati terdapat ramai golongan OKU dari kawasan Inanam yang datang ke sini (PDK Daerah Kota Kinabalu) selama 8 kali dalam sebulan dan ini amat menyusahkan mereka terutama sekali ibu bapa yang terpaksa menempuhi perjalanan jauh dan kesesakan lalu lintas semata-mata untuk membawa anak mereka mendapatkan rawatan pemulihan di sini,” katanya ketika merasmikan Majlis Pesta Kaamatan Dan Penyerahan Elaun Khas anjuran PDK Daerah Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.
Setakat ini katanya, pihaknya masih lagi menunggu kelulusan dari pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan dan memberi peruntukan bagi pembinaan PDK ini.
“Apabila telah mendapat kelulusan, kita akan membentuk sebuah Jawatankuasa dengan kerjasama pegawai-pegawai daripada Jabatan Kebajikan Am Negeri Sabah dan projek ini akan dimulakan serta-merta,” katanya.
PDK Inanam yang dijangka akan beroperasi pada tahun hadapan ini diharap dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada golongan OKU di Inanam serta kawasan-kawasan sekitarnya seperti Menggatal, Telipok dan Kota Belud, katanya.
“Tempoh 6 bulan yang bermula dari sekarang untuk pembinaan PDK Inanam ini adalah cukup kerana kita hanya perlu mencari tempat atau bangunan untuk disewa,”.
“Dan saya juga berharap agar pegawai dan kakitangan PDK Kota Kinabalu ini dapat membimbing dan melatih kakitangan di PDK Inanam nanti tentang cara-cara mengendalikan golongan OKU,” katanya.
Sementara itu, majlis itu turut menyaksikan Johnny menyampaikan elaun khas kepada 114 pelatih di PDK Kota Kinabalu. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi PDK Daerah Kota Kinabalu, Ngo York Kong dan Pegawai Pembangunan Masyarakat di Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Lily Chin.
|