|
14th June, 2012
PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin berkata ibu bapa perlu menjadi ‘role model’ dan memainkan peranan penting membimbing anak-anak supaya menjauhkan diri daripada najis dadah.
Beliau berkata, jika ibu bapa gagal menjadi contoh yang baik, anak-anak akan keliru dan akhirnya menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan rakan sebaya.
“Keadaan seperti itu akan mendedahkan mereka kepada unsur-unsur negatif termasuk dalam penagihan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Iman “Pelajar Bebas Dadah” di SMK Putatan, di sini, kelmarin.
Program anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Putatan itu disertai 300 peserta yang terdiri daripada para pelajar sekolah.
Turut hadir Pegawai Daerah Putatan yang juga Pengerusi Pemadam Daerah Putatan, Awang Abd. Ghani Pg. Yusuff, Setiausaha Eksekutif Pemadam Negeri Sabah, Jossie Ansilmus, Pengerusi PIBG SMK Putatan, Hussin Khalid dan ibu bapa pelajar.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri turut mengingatkan para pelajar supaya menjauhkan diri daripada najis dadah kerana ia akan memusnahkan masa depan mereka.
“Dadah telah diisytiharkan sebagai musuh nombor 1 negara, oleh itu saya berharap para pelajar jangan tersalah langkah dan terjebak dalam penyalahgunaan dadah atau menjadi keldai dadah hanya untuk mengecapi kesenangan hidup secara haram.
“Kepada para pelajar, jauhilah diri dari dadah dan belajarlah untuk berkata “tidak kepada dadah” dan tanamlah dalam hati bahawa “dadah pembunuh, saya benci dadah”,” katanya.
Beliau berkata antara penyebab utama golongan muda terjebak dalam penagihan dadah ialah pengaruh kawan dan rasa ingin tahu.
“Oleh itu perkara seperti itu harus dihindari supaya tidak berlaku implikasi negatif seperti berita pelajar menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah dan isu mencederakan atau membunuh ibu bapa,” katanya.
Yahya berkata, pelajar adalah golongan muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara untuk membangunkan kegemilangan negara.
“Justeru itu, potensi akal, rohani dan jasmani mereka perlu dikembangkan secara positif agar bijak berfikiran dan mampu membezakan mana yang baik dan buruk,” katanya.
Beliau juga berharap agar ibu bapa pelajar terus memberi sokongan terhadap program-program dan aktiviti Pemadam kerana ianya memberi kebaikan kepada diri mereka dan anak-anak.
|