|
13th June, 2012
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan komited terhadap kepentingan semua lapisan rakyat termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk golongan itu.
Beliau berkata, ini terbukti melalui penyediaan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, kemudahan ruang laluan dan tandas untuk OKU di setiap bangunan, kompleks beli belah dan pejabat.
“Penyediaan pelbagai kemudahan itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela dan memperjuangkan nasib rakyat selaras dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
“Pada masa yang sama, saya menggesa agar fasiliti untuk OKU terus diperluaskan di semua bangunan dan kompleks di seluruh negeri untuk manfaat golongan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada Majlis Hari Pengajian OKU Peringkat Negeri Sabah, di Dewan Wisma Wanita, di sini, kelmarin.
Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Hajah Azizah Mohd Dun.
Musa berkata, kejayaan OKU dalam pekerjaan dan perniagaan membuktikan mereka juga berperanan penting dalam memacu pembangunan dan kemajuan ekonomi negara khsusunya Sabah.
Katanya, Program Pengajian OKU jelas membuktikan pengiktirafan kerajaan terhadap pekerja OKU yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang selama berkhidmat dengan majikan dan untuk usahawan OKU yang berjaya dalam perniagaan.
“Peluang yang diberikan oleh majikan membuktikan bahawa mereka sebenarnya golongan yang setia, tekun, jujur, berdedikasi dan produktif.
“Justeru saya berharap program seumpama ini menjadi pendorong kepada para majikan untuk mengaji golongan OKU bekerja dalam organisasi mereka,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Tenaga Kerja Sabah dan Perkeso serta Kementerian Sumber Manusia Malaysia atas usaha untuk menjayakan program itu.
“Semoga warga OKU akan terus berusaha dengan gigih dan penuh dedikasi untuk terus maju jaya dan cemerlang dalam bidang yang diceburi,” katanya.
Pada majlis itu Anugerah Majikan Prihatin diberikan kepada Kumpulan BTC Berhad yang menggaji 12 OKU, Shangri-La’s Tanjung Aru, Pantai Dalit Beach Resort, Sabah Softwoods Berhad, Jang Lung Sdn.Bhd dan The Palace Hotel.
Manakala Anugerah Usahawan OKU pula dimenangi oleh Tan Hwa Koon yang menjalankan perniagaan menjual dan membekal peralatan prostetik dan Ortopedik, Fariz A.Rani (Pembekalan Anggota Palsu & Peralatan Rehabilitasi), Sartim Torimo, Khir Johari Abdullah dan Sinusun Anggoh masing-masing menjalankan perniagaan Pusat Urut Kaki.
Anugerah Pekerja Kurang Upaya Cemerlang dimenangi oleh The Geok Choon yang telah bekerja selama 25 tahun di KK Prosthetic & Orthopedic Equipment Sdn Bhd, Ho Sui Yin yang berkhidmat selama 22 tahun sebagai guru Bahasa Isyarat di Persatuan Pekak Tawau, Chee Lee Fun berkhidmat lapan tahun dalam bidang pemprosesan keropok udang dan Darryl Gianzon berkhidmat selama 10 tahun sebagai guru dalam Persatuan Pekak Keningau.
|