|
|
|
SANTAI ... Ng tertarik dengan kehidupan Orang Utan yang terdapat di Sepilok sambil Tengku Dr. Adlin merakamkan sekumpulan Orang Utan semasa lawatan ke pusat itu.
|
13th June, 2012
SANDAKAN: Kira-kira RM6.3 juta diperuntukkan untuk membangunkan sektor pelancongan di sini yang membabitkan sebuah Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo (BSBCC) termasuk Orang Utan dan juga Hutan Simpan.
Bercakap kepada pemberita petang kelmarin, Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen, memberitahu sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan untuk membangunkan BSBCC di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok itu termasuklah menjalankan kajian pendidikan dan pameran untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke pusat yang kini menjadi daya tarikan sebagai pusat sedunia ini.
Pada tahun 2009, katanya, adalah dianggarkan 1 juta bilangan pelancong dicatatkan dan berharap jumlah tersebut akan bertambah apabila BSBCC dibangunkan dengan pelbagai kemudahan kelak.
“Satu pusat kajian pendidikan akan diwujudkan untuk menjadikan kawasan konservasi beruang matahari ini sebagai tarikan pelancong bertaraf dunia,” katanya yang mengadakan lawatan singkat ke pusat itu.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Dato’ Sri Tengku Dr.Zainal Adlin dan Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas kepada BSBCC, Dr. Wong Siew Te.
Menurut Ng, kemudahan pusat BSBCC ini penting kerana masyarakat tidak boleh menyimpan beruang berkenaan kerana ia adalah spesies ganas apabila meningkat dewasa.
Sebaiknya, ujar beliau, masyarakat menyerahkan kepada jabatan berkaitan untuk memulihara spesies ini bermula usia kecil sehingga dewasa.
“Mereka menganggap beruang ini comel sekali gus menjadikannya haiwan peliharaan tetapi lupa mengenai spesies ini yang akan menjadi ganas apabila dewasa,” katanya.
Sehubungan dengan itu, tambahnya, pusat tersebut dibangunkan adalah bagi memberikan kelainan kepada pelancong yang datang ke Sepilok.
“Kita tidak mahu pelancong datang lagi semata-mata melihat Orang Utan sahaja sebaliknya berkunjung disebabkan tarikan baru iaitu pusat konservasi beruang matahari.
“Pelancong tidak akan datang selalu ke Sepilok hanya kerana ingin melihat Orang Utan sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Wong berkata beruang dilindungi daripada aktiviti memburu dan membunuh spesis berkenaan mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.
“Terdapat lebih 20 ekor beruang berada di BSBCC untuk diberikan perlindungan sepenuhnya dengan memberikan penjagaan sepenuhnya kepada habitat ini.
“BSBCC ini mula beroperasi sejak tahun 2008 lagi tetapi belum dibuka kepada orang awam,” katanya.
Menurutnya,peruntukan yang diberikan kementerian pelancong digunakan untuk menaik taraf jambatan menuju ke kawasan pemerhatian beruang matahari borneo itu selain bertujuan untuk mewujudkan pusat penyelidikan dan pameran pendidikan.
“Penubuhan BSBCC ini bertujuan juga untuk menyediakan persekitaran hidup jangka panjang yang baik serta mewujudkan habitat sekali gus mengembalikan beruang ke hutan semula.
“Selain itu, BSBCC diwujudkan untuk mendidik orang ramai meningkatkan kesedaran mereka mengenai spesies ini yang hanya terdapat di Malaysia. Kita wajar berbangga,” katanya.
|