|
8th June, 2012
KENINGAU: Haruan makan anak atau harap pagar makan padi, ungkapan ini layak diberikan kepada seorang bapa yang disyaki merogol anak kandungnya sendiri yang berumur 13 tahun di Kg. Gasabon Apin-Apin kira-kira 20 kilometer dari sini.
Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Supritendan Polis (DSP) Zahari Mohamed berkata, suspek rakyat tempatan yang berumur 33 tahun, penoreh getah dan beralamat Kg. Tibabar Mantaranau Kiulu, Tamparuli itu telah merogol anaknya pada bulan Februari 2012 (tarikh sebenar tidak ingat).
Katanya, mangsa yang masih bersekolah tidak berani memaklumkan kepada sesiapa selepas kejadian memandangkan mangsa telah diugut dibunuh oleh bapanya sendiri jika memberitahu kepada sesiapa.
“Kejadian itu berlaku di rumah nenek mangsa di Kg.Gasabon Apin-Apin dan semasa kejadian ibu mangsa yang berumur 35 tahun iaitu pengadu tidak berada di Sabah kerana bekerja sebagai jururawat di Dubai sejak bercerai dengan bapa mangsa (suami) pada hujung tahun 2011,” kata Zahari kepada media di sini pada Rabu.
Zahari memberitahu, pengadu pulang ke Sabah kerana dimaklumkan oleh ibunya pada 2 Jun 2012 bahawa anaknya telah dirogol.
Ibu mangsa katanya, telah membuat laporan polis pada 6 Jun 2012 jam 10.00 pagi sementara pihak polis yang menerima laporan telah membuat temu janji dengan Hospital Keningau dan mangsa menjalani pemeriksaan awal pada 7 Jun 2012 (kelmarin).
Katanya, suspek sedang dikesan dan akan disiasat dibawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
|