|
4th June, 2012
TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh menggesa Majlis Perbandaran Tawau (MPT) memberhentikan perkhidmatan kontraktor yang tidak menjalankan tugas pembersihan dengan sempurna di kawasan taman perumahan.
Menurutnya, perkara itu perlu memandangkan banyak aduan diterima daripada penduduk terlibat yang menyatakan kawasan perparitan dan rumput tidak diselenggara dengan betul di kawasan taman perumahan mereka.
“Tidak kira siapa punya kontraktor `orang kecil’ atau `orang besar’, sokong kita (Barisan Nasional) atau tidak, kontraktor yang diamanahkan yang tidak menjalankan tugas dengan bertanggungjawab perlu diberhentikan perkhidmatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghubungi pemberita selepas menyertai program gotong-royong pembasmian wabak denggi di Taman Semarak Fasa 2 A.
Katanya, kontraktor dan syarikat yang dilantik perlu melaksanakan kerja-kerja kutipan sampah, pembersihan parit dan pemotongan rumput di taman-taman perumahan seperti yang diamanahkan kepada mereka.
Datuk Ghapur berkata, adalah tidak wajar setelah pembayaran dilakukan tetapi kontraktor terbabit tidak melakukan tugas dengan sempurna dan sambil lewa.
Jelasnya, bagi kawasan Taman Semarak sahaja terdapat empat laporan berkenaan kes denggi yang dikesan dan perkara tersebut tidak boleh dipandang remeh oleh mana-mana pihak.
“Kalau dalam rumah tanggungjawab individu dan keluarga untuk menjaga kebersihan namun jika di luar rumah yang terdapat kontraktor bertanggungjawab membersihkan kawasan, kontraktor tidak boleh lepas tangan,” katanya.
Sehubungan itu, pihak MPT perlu memandang serius perkara tersebut dan memantau serta memastikan tindakan segera dilakukan kontraktor terbabit melakukan kerja-kerja yang menjadi tanggungjawab mereka.
Dalam pada itu beliau mengingatkan penduduk di Taman Semarak supaya sentiasa memastikan kebersihan di dalam dan kawasan rumah masing-masing bagi mengelak berlakunya wabak dan penyakit.
Program gotong-royong tersebut katanya, tidak akan dapat menghapuskan sepenuhnya penyakit yang ada tetapi dapat meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk tentang keperluan menjaga persekitaran supaya sentiasa bersih.
Gotong-royong tersebut turut disertai oleh wakil rakyat Tanjung Batu dan Sebatik, Datuk Hamisa Samat dan Abdul Muis Picho serta kira-kira 100 penduduk taman tersebut.
|