|
4th June, 2012
KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) komited dalam mencapai situasi menang-menang di antara barisan parti pembangkang yang lain dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.
Selain itu, menurut Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee (gambar), SAPP juga menyasarkan untuk menang sejumlah kecil kerusi parlimen dan sanggup berkongsi beban bersama parti pembangkang yang lain terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi PRU 13 nanti.
“Tiga pendekatan ini, iaitu menang-menang, menakluki sejumlah kecil kerusi parlimen dan berkongsi bebanan merupakan tiga pendekatan utama SAPP bagi menumpaskan Barisan Nasional pada pilihan raya umum kali ini,” jelas Yong dalam sebuah sidang media di Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan SAPP, di sini, kelmarin.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut mengulas mengenai teka-teki tarikh PRU 13 dengan menyatakan bulan Julai adalah yang terbaik untuk pilihan raya berdasarkan petanda-petanda dari BN melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh mereka termasuk pelancaran bilik operasi, pengedaran bahan-bahan pilihan raya serta penyerahan nama-nama calon bertanding bagi pilihan raya.
“Lebih lama mereka (BN) menunda tarikh pilihan raya, semakin terbukti bahawa mereka belum yakin akan kemampuan sendiri untuk menang,” jelasnya.
Dalam persidangan tersebut, SAPP turut membentangkan 17 manifesto bagi PRU 13 dengan misi ‘mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah dan masyarakat yang progresif adil dan sejahtera’.
Antara manifesto yang disebut adalah pengeluaran Kad Pengenalan Sabah kepada rakyat Malaysia di Sabah yang berkelayakan, pengkajian semula hubungan dan perundangan antara Negeri dan Pusat, penubuhan rang undang-undang anti lompat parti bagi wakil-wakil rakyat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang telah dipilih dan juga pengembalian Labuan kepada Sabah.
“Bersama dengan Reformasi Tanah dan Pelan Ekonomi, Manifesto ini merupakan asas untuk kerajaan baru Negeri Sabah jika kita menang nanti,” katanya.
Katanya, pada asasnya SAPP telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang akan ditandingi dan demi mempertahankan prinsip autonomi untuk Sabah, SAPP akan bertanding di majoriti kawasan dewan undangan negeri (DUN)
“Walaupun demikian, kita hanya akan bertanding di beberapa kawasan Parlimen, di mana peranan kita ialah untuk membantu parti pembangkang lain untuk membawa perubahan kerajaan persekutuan,” jelasnya.
Persidangan tersebut yang juga merupakan persidangan terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang turut disaksikan oleh barisan pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang lain termasuk Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
|