|
|
|
MENYERONOKKAN .... Pusat sains mini Petrosains PlaySmart yang sentiasa menarik perhatian pengunjung terutama sekali pelajar-pelajar sekolah.
|
1st June, 2012
KOTA KINABALU: Petrosains PlaySmart merupakan pusat sains mini yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menerokai dunia sains melalui pembelajaran yang menyeronokkan melalui pameran dan aktiviti secara interaktif.
Sejak dibuka pada Januari yang lalu, Petrosains PlaySmart Sabah yang di Perpustakaan Negeri Sabah ternyata mendapat sambutan yang baik dengan jumlah pengunjung dianggarkan seramai 4,000 orang sebulan.
Menurut Ketua Operasi Outreach Petrosains Sabah, Norhana Hamim, pengunjung yang datang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah, ibu bapa, guru-guru dan penduduk tempatan di sekitar Kota Kinabalu.
“Petrosains PlaySmart ini merupakan projek sosial korporat Petronas bertujuan untuk meningkatkan minat pelajar sekolah kepada subjek sains,” katanya ketika ditemuramah oleh New Sabah Times.
Katanya, sebelum ini pelajar hanya mempelajari sains melalui buku dan teori semata-mata, namun kini dengan adanya Petrosains PlaySmart ia merupakan peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan setiap yang dipelajari di sekolah melalui permainan interaktif yang disediakan berteraskan sains dalam kehidupan seharian mereka.
Katanya, setiap bulan Petrosains PlaySmart akan memilih tema yang berlainan bagi memberi kepelbagaian dan keunikan pada permainan-permainan dan pameran yang diadakan seperti ‘alam sekitar’ akan dijadikan tema pada bulan Jun dan pada bulan Julai, Petrosains PlaySmart akan bertemakan ‘sukan’ yang bertepatan dengan acara Sukan Olimpik yang akan diadakan di London pada bulan tersebut.
“Kami ingin menerapkan kepada para pelajar bahawa sains adalah kehidupan seharian mereka contohnya seperti ketika memasak, memasang lampu atau kipas mahupun ketika melintas jalan,” katanya.
Dengan ini katanya, Petronas bukan sahaja dapat meningkatkan minat pelajar-pelajar terhadap subjek sains malah membantu merealisasikan matlamat kerajaan untuk melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif.
“Maklum balas yang diterima juga amat memberangsangkan dari ibubapa dan guru-guru kerana mereka berpendapat program yang dijalankan ini amat baik dalam memberikan pendedahan kepada pelajar tentang sains dan mereka juga akan menjadi lebih yakin untuk mempelajari subjek ini”katanya.
Hal ini turut diakui oleh Stefani Cole yang selalu berkunjung ke sini. Katanya “Saya berasa sangat gembira setiap kali berkunjung ke sini kerana semua aktiviti yang disediakan dapat membantu saya lebih memahami sains dengan kaedah yang amat menyeronokkan,” kata pelajar SJK Chung Hwa yang berumur 11 tahun ini.
“Permainan yang disediakan di sini amat menyeronokkan di samping ia banyak membantu saya mengaplikasikan apa yang dipelajari di dalam kelas. Saya sering menghabiskan masa lapang saya bersama rakan-rakan di sini,” jelas Dayang Nurul Fatimah Iskandar, pelajar SMK Sanzac yang berusia 15 tahun.
Rakannya Dayang, Ernawati Edy, 15 tahun turut mengakui bahawa dengan adanya Petrosains PlaySmart di Kota Kinabalu ini, dia serta rakan-rakannya dapat menghabiskan masa lapang mereka terutamanya selepas sesi persekolahan dengan aktiviti yang berfaedah.
|