|
|
|
BERSALAMAN ... Musa diiringi oleh Pairin bersalaman dengan Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan sebaik tiba di Hongkod Koisaan kelmarin.
|
1st June, 2012
PENAMPANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membuktikan kewibawaan serta kemampuan untuk mengurus negara dengan baik walaupun terdapat halangan-halangan tertentu, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Beliau berkata berdasarkan rekod prestasi yang baik terutamanya melalui kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang dinamik dan progresif, beliau yakin Sabah akan terus maju mencapai objektif ke arah negara maju menjelang 2020.
Katanya, laluan untuk mencapai objektif negara maju bukan suatu yang mudah terutamanya dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan memerlukan pengurusan serta pentadbiran yang cekap dan efisyen.
“Oleh itu kerajaan BN amat menghargai sokongan padu rakyat dan berharap sokongan itu terus diberikan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di negeri ini dan Malaysia amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2012, di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, kelmarin.
Majlis itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Haji Mahiruddin.
Turut hadir isteri TYT Toh Puan Hajah Norlidah Datuk R.M. Jasni, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman dan isteri Datin Seri Faridah Haji Tussin, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Maximus Ongkili, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri dan menteri-menteri kabinet negeri.
Pairin berkata, Pesta Kaamatan akan terus menjadi pentas perpaduan di kalangan pelbagai kaum, bangsa dan agama di negeri ini.
“Sepanjang bulan Pesta Kaamatan, saya gembira melihat semangat perpaduan, hormat menghormati dan kerjasama erat di kalangan penduduk di negeri ini.
“Melihat keadaan sedemikian, saya yakin mengatakan bahawa Sabah satu-satunya negeri di Malaysia yang benar-benar mengamalkan semangat ‘unity in Diversity’,” katanya.
Beliau berkata tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu “Cinta Terhadap Kebudayaan Melahir- kan Masyarakat Penyayang” jelas menunjukkan bahawa mesej yang ingin disampaikan menjurus kepada pembentukan masyarakat yang menghargai sikap toleransi, nilai budaya pekerti yang tinggi dan sifat keperibadian yang saling hormat menghormati antara satu sama lain.
“Kerapkali kita lupa bahawa sifat-sifat itu boleh membawa kita ke arah tahap kehidupan yang aman dan progresif,” katanya.
Namun katanya konsep utama perayaan itu yang berkisar kepada idea kesyukuran tetap menjadi tunjang pesta ini, khasnya untuk kaum petani.
“Sebagai satu negeri yang mementingkatn sektor pertanian, semangat kesyukuran ini adalah sesuatu yang amat bermakna.
“Pesta kaamatan tahun ini mempamerkan pelbagai pertunjukan tradisi termasuklah sukan tradisi, rumah-rumah tradisi yang melambangkan etnik di Sabah serta acara kemuncak Unduk Ngadau,” katanya.
|