|
25th January, 2012
KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan antara RM5,000 dan RM10,000 untuk membaik pulih rumah kaum nelayan dalam usaha membela nasib golongan itu di seluruh negara.
Sambil menegaskan nasib golongan itu akan terus dibela di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), Najib berkata beliau difahamkam bahawa borang permohonan untuk inisiatif yang akan dilaksanakan sedikit masa lagi itu sedang diedarkan melalui persatuan-persatuan nelayan.
“Nak buat rumah baharu boleh, tapi saya dengar khabar nelayan ni tak boleh tidur kalau tak dengar bunyi ombak, mesti tepi laut, nak pindah(kan ke kawasan lain) susah.
“Jadi, sebahagian daripada RM300 juta kita akan guna untuk menambah baik rumah-rumah nelayan di seluruh negara,” kata Najib ketika melancarkan Program Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan bertujuan membantu golongan nelayan, di Tanjung Lumpur di sini.
Perdana Menteri merujuk kepada Tabung Khas Perumahan Nelayan bernilai RM300 juta yang diumumkan beliau ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, Oktober lepas.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 20,000 orang terutamanya warga nelayan, Najib menyampaikan pelbagai bantuan berjumlah RM1.5 juta kepada persatuan nelayan di tiga kawasan iaitu Kuantan, Rompin dan Pekan.
Majlis itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Dalam ucapannya, Najib berkata kerajaan hari ini benar-benar menjiwai untung nasib semua lapisan rakyat dan sanggup berjuang untuk kepentingan mereka bagi melihat perubahan besar dalam kehidupan mereka dan generasi seterusnya.
Menurut beliau, Gagasan 1Malaysia yang dilancarkan kerajaan bukan semata-mata slogan atau retorik politik tetapi sesuatu yang diterjemahkan melalui dasar dan program yang menepati falsafah di sebaliknya.
Beliau menggariskan keadilan sosial serta keperluan berlaku adil dan “inclusive” (keterangkuman) sebagai prinsip yang disandarkan dalam melaksanakan gagasan itu.
“Kita beri bantuan ikut apa yang adil mengikut keperluan mereka. Inclusive bermakna tidak ada mana-mana golongan yang terpinggir melalui usaha kerajaan.
“Melalui program ini, kerajaan buktikan ia bukan kata-kata kosong, bukan sedapkan hati orang, tapi kita zahirkan melalui satu program yang boleh ubah untung nasib golongan yang memerlukan,” katanya.
|