|
23rd November, 2011
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin berkata kenaikan harga ayam secara mendadak baru-baru ini disebabkan oleh kenaikan harga makanan ayam.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, sepanjang sepuluh bulan tahun ini harga makanan ayam pemula (starter) telah meningkat sebanyak RM7.60 atau 8.3 peratus di daerah-daerah pantai berat dan sebanyak RM15.60 atau 16.9 peratus di kawasan Pantai Timur Sabah.
Beliau berkata harga sekarung makanan ternakan seberat 50 kilogram meningkat daripada RM91.50 kepada RM99.10 di daerah-daerah pantai barat dan daripada RM92.50 kepada RM108.10 sekarung bagi daerah-daerah Pantai Timur Sabah.
“Pada masa yang sama, harga makanan jenis penggemuk juga telah meningkat sebanyak RM5.70 iaitu kenaikan 6.4 peratus daripada RM89.50 kepada RM95.20 di Pantai Barat dan sebanyak RM18.10 iaitu 20 peratus daripada RM90.50 kepada RM108.60 di pantai timur.
“Kenaikan ini disebabkan oleh kenaikan harga bahan-bahan mentah seperti jagung dan kacang soya yang diimport dari luar negara.
“Perbezaan harga makanan ternakan di daerah pantai barat dan pantai timur dipengaruhi oleh kenaikan kos pengangkutan yang telah meningkat. Ini disebabkan ketiga-tiga kilang makanan ternakan komersil terletak di Kota Kinabalu atau Labuan. Faktor penyebab lain termasuk harga anak ayam, yang juga meningkat daripada RM1.80 kepada RM2.60 seekor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong Jimmy Wong Sze Phin, pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri di Dewan Undangan Negeri di sini, kelmarin.
Yahya berkata, selain itu Sabah juga mengalami masalah pengimportan keratan ayam terutama sayap dan sukuan belakang kerana beberapa loji pengeksport di Eropah telah digantung ekoran terdapat ketidak pematuhan syarat-syarat import termasuk status halal.
“Penggantungan bermula Februari lalu dibuka semula pada Oktober tahun ini. Semasa penggantungan itu, pengimportan keratan ayam hanya diperolehi daripada Amerika Syarikat di mana harga adalah lebih mahal,” katanya.
Beliau berkata disebabkan perkara itu, maka permintaan keratan ayam terpaksa beralih kepada bekalan daging ayam tempatan.
Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak mengenakan sekatan import keratan ayam seperti sayap dan sukuan depan dan belakang untuk memenuhi keperluan domestik.
“Ini bererti kementerian saya tidak pernah mengharamkan pengimportan selagi memenuhi syarat bahawa negara pengeksport harus bebas daripada penyakit berjangkit dan produk yang dihasilkan diiktiraf ‘halal’ oleh Kerajaan Malaysia,” katanya.
Yahya berkata keadaan bekalan sukuan ayam secara keseluruhannya dijangka akan pulih ekoran penarikan balik penggantungan terhad loji-loji ayam di Eropah mulai Oktober lalu.
|