|
7th September, 2011
LABUAN: Seorang lelaki warga emas rakyat tempatan yang dipercayai ditinggalkan oleh anaknya ditemui di perkarangan Masjid Negeri An Nur Wilayah Persekutuan Labuan, petang Selasa.
Menurut mangsa Wahid Hussin, 71, beliau yang sebelum ini ditahan di Hospital Kuala Penyu kerana mengidap sakit lelah telah pergi ke Labuan dua hari lalu selepas doktor mengesahkan beliau sihat dan dibenarkan keluar dari wad.
Beliau yang tidak ditemani oleh sesiapa telah mengambil keputusan untuk terus pergi ke Labuan untuk menemui salah seorang anaknya, malangnya selepas beberapa jam berada di rumah anaknya, beliau telah diarah mengikuti salah sebuah kereta yang kemudiannya pemandu kereta berkenaan menurunkan mangsa di kawasan masjid An Nur.
“Kamu tunggu saja di sini… nanti ada orang akan ambil kamu,” kata pemandu kereta berkenaan sebelum meninggalkan pergi.
“Bagaimanapun selepas lama menunggu tiada seorang pun datang mengambil saya,” ceritanya sambil mengalirkan air mata kerana tidak dapat menahan sebak atas perbuatan anaknya yang sanggup melakukan beliau sedemikian rupa.
Dalam pada itu, beliau turut mendakwa anaknya itu bukan saja sanggup meninggalkan beliau, tetapi juga turut mengambil wang saku hasil sumbangan orang ramai semasa beliau berada di hospital Kuala Penyu.
Terdahulu sebelum itu, dua pekerja awam Masjid An Nur menemui mangsa dalam keadaan lemah di tepi kawasan pokok bunga berhampiran masjid berkenaan.
Melihat keadaan mangsa yang lemah kedua-dua pekerja itu membawa mangsa masuk ke dalam perkarangan masjid untuk diberi bantuan sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan masjid untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan Masjid An Nur menemui sekeping kertas yang bertulis tiga nama berserta nombor telefon masing-masing tercatit nama Nilam (anak), Sanip (anak) dan Alias (adik) yang disimpan dalam beg pakaian mangsa.
Berdasarkan kepada maklumat itu, pihak pengurusan telah menghubungi penama berkenaan dan berjaya menghubungi salah seorang daripada mereka yang bernama Alias. Manakala dua lagi yang dipercayai anak mangsa gagal dihubungi.
Semasa berada di masjid Ann Nur, Alias mengakui mangsa adalah abangnya tetapi berlainan ibu yang sering menjadi mangsa anak-anaknya.
Alias turut mendakwa abangnya yang mempunyai tujuh anak itu tidak pernah untuk mengambil berat mengenai masalah bapanya. Lebih menyedihkan lagi abangnya yang sering merindukan kasih sayang anaknya itu sudah tidak mempunyai isteri kerana meninggal dunia sejak 12 tahun lalu.
Ketika ditanya satu soalan, Alias menjelaskan beliau bersama seorang lagi kakaknya pernah menjaga abangnya itu (Wahid) tetapi dimarahi oleh anak-anak Wahid supaya tidak mencampuri urusan mereka.
Berikutan kejadian itu, Alias telah mengambil keputusan menyerahkan kes abangnya itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, selain membuat laporan polis berhubung tindakan anak-anak Wahid yang enggan menjaga bapanya.
Sementara itu, Pegawai Unit Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Labuan, Jamil Jemon yang turut berada di Masjid Jamik An-Nur pagi kelmarin berkata, pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu akan mendapatkan perintah mahkamah supaya kes Wahid dapat ditempatkan di rumah warga emas di Sri Kenangan Seremban Negeri Sembilan atau di Rumah Orang Tua Papar Sabah bagi mendapatkan kehidupan yang lebih sempurna mengikut Akta Orang Papa 1977.
Jamil berkata, buat sementara ini warga emas itu akan ditempatkan di rumah perlindungan sementara JKM Labuan.
|