|
2nd September, 2010
KENINGAU: Pembantu Menteri Pembangunan Luar Negeri Sabah, Datuk Sairin Hj. Karno, berkata rakyat rugi jika mengambil keputusan untuk tidak menyokong kerajaan yang terbaik.
“Satu keputusan yang salah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana, anjuran Umno Bahagian Keningau di sini.
Sairin yang merupakan Ketua Umno Bahagian parti itu menekankan, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Parti Umno merupakan sebuah kerajaan yang terbaik di dunia.
“Rakyat pelbagai etnik di negara ini hidup harmoni di Malaysia, dan semua ini adalah hasil daripada kebijaksanaan pemimpin kerajaan BN untuk mentadbir negara ini,” jelasnya.
Katanya, banyak negara maju di dunia masih bergolak disebabkan kerapuhan perpaduan, yang mencerminkan kerajaan yang sedang memerintah tidak mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada rakyat jelata.
“Tetapi di Malaysia, kita mempunyai pelbagai etnik dan masih boleh duduk semeja,” jelasnya dan menambah, ini adalah kebijaksanaan sebuah kerajaan yang terbaik seperti Barisan Nasional.
Sairin mengeluarkan kenyataan itu sebagai mengulas tindakan segelintir rakyat, yang masih taksub dengan fahaman pembangkang sehingga mengenepikan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
Mengenai majlis itu, Sairin menasihatkan rakyat supaya menjadikan majlis seumpama itu dibudayakan, sebagai jambatan untuk memperkasakan perpaduan yang sedia ada.
Katanya, amalan menjemput kaum yang bukan beragama Islam untuk bersama menjamu semasa berbuka puasa, adalah sesuatu yang perlu dikekalkan untuk merapatkan silaturahim dikalangan penduduk setempat.
“Amalan berbaik-baik seperti ini merupakan satu tuntutan dalam agama Islam,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya memastikan anak-anak mereka diberikan pendidikan yang secukupnya, sebagai persiapan untuk menghadapi era globalisasi.
Kira-kira 500 penduduk setempat menghadiri majlis berbuka itu, yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin parti kompenan BN.
Majlis itu sebahagian daripada pengisian program Juara Rakyat.
|