|
2nd September, 2010
KENINGAU: Polis menahan 80 orang disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi bersepadu IPD di sini dalam dalam operasi yang diadakan di sekitar pekan bermula jam 4.00 hingga 6.00 petang pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Keningau DSP Zahari Mohamed berkata, 15 daripada yang ditahan pada petang itu dibebaskan kerana berjaya menunjukkan dokumen mereka yang sah.
“Mereka yang ditahan terdiri dari 22 rakyat Filipina dan 58 rakyat Indonesia ditahan untuk pemeriksaan dan dokumentasi,” katanya kepada media di sini kelmarin.
Zahari memberitahu, mereka yang tidak mempunyai dokumen akan dirujuk kepada Imigresen untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah itu berkata, operasi yang dijalankan itu adalah mengesan dan menahan PATI yang dipercayai mengancam keselamatan dan menganggu orang ramai terutama gadis-gadis tempatan di sekitar pekan.
Katanya, mengikut pemantauan polis remaja rakyat asing yang tidak bekerja kebanyakannya melepak di kawasan pekan dan dikhuatiri menyumbang kepada kegiatan jenayah.
Justeru itu katanya, polis akan meneruskan operasi dari masa ke masa bagi mengesan dan menahan mana-mana rakyat asing yang melepak di kawasan pekan.
Katanya, kebanyakan rakyat asing dari Filipna dan Indonesia yang datang di negeri ini menngunakan pasport lawatan sosial tetapi terus tinggal dan mencari pekerjaan di sini.
“Tindakan ini adalah salah dan tidak membenarkan mereka bekerja tinggal di negeri ini,” tegas Zahari.
Juteru itu katanya, rakyat tempatan diingatkan agar jangan mengambil pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah.
“Penduduk kampung perlu bekerjasama dengan polis untuk menangani masalah kedatangan PATI di negeri ini khususnya di kawasan Pedalaman,” kata Zahari.
Dalam masa yang sama Zahari meminta pemimpin-pemimpin masyarakat seperti Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar memastikan kampung masing-masing tidak didatangi oleh PATI.
Katanya, kedatangan PATI di kampung-kampung boleh mengancam keselamatan penduduk kerana mereka menganggu anak-anak gadis malah menganggu harta benda penduduk.
|