|
|
|
ZAKAT…Musa (kanan) menyampaikan bantuan zakat kepada salah seorang ibu tunggal, di sini, kelmarin.
|
2nd September, 2010
SANDAKAN: Penduduk Kampung Sungai Batang, di sini yang menetap dalam kawasan rizab jalan diminta supaya bersedia untuk berpindah ke tapak penempatan baharu yang disediakan kerajaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, status tanah yang didiami penduduk di kawasan berkenaan merupakan tanah milik kerajaan dan akan dibangunkan untuk tujuan melebarkan jalan raya.
Katanya, ia adalah inisiatif kerajaan untuk menampung lalu lintas yang dijangka akan bertambah selepas hub pendidikan di kawasan itu beroperasi sepenuhnya.
“Kita sudah pun memberi penjelasan kepada penduduk berhubung status tanah yang mereka diami sekarang.
“Tanah itu akan diambil semula oleh kerajaan untuk pembinaan jalan. Sementara, penduduk yang terlibat dengan pemindahan itu akan ditempatkan di tapak baharu yang lengkap dengan kemudahan asas dan infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan kurang berkemampuan, anak yatim dan kurang bernasib baik di Masjid Kampung Sungai Batang, di sini, kelmarin.
Hadir sama, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), James Wong.
Penempatan baharu dengan keluasan 19 hektar itu yang terletak dalam kawasan Kampung Sungai Batang dijangka dapat menampung sehingga 118 keluarga.
Ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bekalan air, elektrik dan kemudahan infrastruktur seperti masjid serta dewan.
Musa berkata, penduduk yang terlibat dengan pemindahan itu akan ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat di Gum-Gum, di sini buat sementara waktu sebelum penempatan kekal itu siap sepenuhnya.
Katanya, penempatan kekal itu sekali gus dapat menyelesaikan masalah utama penduduk di kawasan itu yang terpaksa hidup dalam kebimbangan kerana takut dihalau pihak tertentu yang ingin membangunkan kawasan terbabit.
“Dengan adanya penempatan baharu ini, hidup mereka akan lebih terjamin dan mereka berpeluang menikmati kehidupan yang lebih selesa berbanding sekiranya mereka terpaksa berpindah-randah.
“Selain itu, tanah yang bakal mereka diami kelak dapat diwariskan kepada anak cucu mereka kerana status tanah akan diberi secara berkelompok,” katanya.
Menyentuh mengenai masalah banjir kilat yang mengakibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Sandak, di sini terpaksa ditutup kelmarin, Musa memberi jaminan masalah itu akan berakhir setelah hub pendidikan itu siap sepenuhnya.
Katanya, beliau telah berbincang dengan Presiden MPS untuk mencari langkah sesuai bagi mengatasi masalah itu.
“Saya percaya masalah banjir ini adalah masalah jangka pendek berikutan pembangunan yang sedang giat dilaksanakan di kawasan ini.
“Pembinaan sistem perparitan, jalan raya dan infrastruktur lain yang terancang akan dapat memastikan masalah banjir ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.
Difahamkan, lebih 600 murid di SK Ladang Sandak tidak dapat mengikuti kelas kelmarin selepas sekolah itu ditutup buat sementara waktu akibat dilanda banjir.
|