|
|
|
SEBAK ... Peter Pang En Yin tidak dapat menahan sebaknya ketika mengumumkan keluar daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) pada sidang media di pejabatnya Kota Kinabalu kelmarin.
|
2nd September, 2010
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Peter Pang En Yin kelmarin mengumumkan keluar daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) dan meletakkan semua jawatan dalam parti itu termasuk sebagai Naib Presiden, berkuatkuasa serta-merta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting itu berkata, keputusan sukar itu terpaksa dibuat ekoran keputusan parti itu untuk menolak sebarang kerjasama dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.
“Saya faham keputusan ini akan mempengaruhi kedudukan di dalam kerajaan dan dengan ini saya menawarkan untuk meletak jawatan daripada jawatan sedia ada dan berjanji untuk meneruskan khidmat di bawah kerajaan BN pimpinan Musa,” katanya pada sidang media di di pejabatnya di Kementerian belia dan Sukan (KKBS) di sini kelmarin.
Pang yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, surat peletakan jawatan itu sudah diserahkan kepada Presiden LDP, Datuk V.K Liew pagi kelmarin di ibu pejabat LDP menerusi Setiausaha Politiknya.
Menurutnya, dia ada mengadakan perjumpaan dengan Liew bagi menyatakan pandangan mengapa dia perlu keluar parti berkenaan.
Bagaimanapun beliau menambah, dia tidak pernah berbincang dengan Musa dalam membuat keputusan itu tetapi berhasrat mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah itu hari ini (kelmarin).
Ditanya sama ada dia akan menyertai parti politik lain, Pang berkata, perkara tersebut merupakan satu pilihan tetapi pada masa ini dia masih belum memikirkan mengenai perkara tersebut.
Menurutnya lagi, ini merupakan keputusan sukar yang terpaksa dibuat sejak bergiat aktif dalam politik bermula 2005.
“Ketika pilihan raya umum lalu saya masih mampu tidur walaupun penat berkempen dan dikelilingi pelbagai tekanan, tetapi kali ini tekanannya sangat berbeza sehingga saya tidak boleh tidur lena sejak seminggu lalu,” katanya.
Ditanya perasaannya, Pang berkata, dia kini berasa sedih dan lega.
“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kepentingan majoriti rakyat Sabah. Saya mahu memastikan kerajaan BN terus aman dan stabil kerana hanya dengan ini pembangunan untuk manfaat rakyat Sabah dilakukan,” katanya.
Kemelut LDP dan Musa bermula apabila Timbalan Presiden LDP, Chin Su Phin mengumumkan parti itu sukar untuk bekerjasama dengan Musa, tetapi sedia bekerjasama dengan Umno dan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kenyataan berkenaan dibuat ekoran rasa tidak puas hati terhadap cara Musa mengendalikan isu-isu yang dibangkitkan LDP pada mesyuarat BN negeri baru-baru ini termasuk berkaitan isu patung Mazu.
Ahad lalu Setiausaha LDP, Datuk Teo Chee Kang mengesahkan bahawa parti itu berdiri teguh di belakang Su Phin dalam kemelut terbaru antara parti itu dengan kepimpinan Musa.
Sebelum ini LDP pernah menekan Musa berhubung keputusannya mengekalkan Datuk Raymond Tan sebagai Timbalan Ketua Menteri.
LDP mendesak Musa menggugurkan Raymond yang pada ketika itu tidak bernaung di bawah mana-mana parti komponen BN selepas membuat keputusan keluar dari Parti Maju Sabah (SAPP).
|