|
1st September, 2010
RANAU: Ketua UPKO Bahagian Ranau, Datuk Dr Ewon Ebin, berkata masalah pendatang tanpa izin (PTI) memang satu isu terlalu lama yang memerlukan perhatian wajarnya oleh pihak berwajib.
Menurut beliau, masalah terbabit kini merupakan satu isu hangat yang giat disebarkan oleh pihak pembangkang yang kelihatan sangat rajin bergerak masuk ke kampung-kampung untuk berkempen bagi mendapatkan pengaruh pada pilihan raya akan datang.
“Kalau isu ini tidak ditangani dengan serius, walaupun kita dalam parti komponen BN sendiri berkali-kali menyuarakannya maka tidak perlu pihak kerajaan menyesal jika berlaku sesuatu yang boleh menggugat keutuhan BN seperti pada pilihan raya lalu,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya ketika menyokong usul bertajuk ‘Masalah Pendatang Asing Tanpa Izin dan Pemberian MyKad secara Tidak Sah’ oleh wakil Pergerakan Wanita Bahagian, Annie Rangga.
Wakil wanita itu dalam ucapannya meminta kerajaan tidak melihat masalah itu sebagai remeh temeh.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata isu kehadiran PTI yang semakin ramai dengan pemilikan dokumen tidak sah bukan sahaja menggugat ekonomi dan sosial penduduk tempatan malah boleh menimbulkan masalah keselamatan.
“Keadaan ini dilihat lebih membahayakan lagi kerana tuntutan negara Filipina ke atas negeri Sabah masih belum diputuskan secara muktamad,” tambahnya.
Tegasnya, hanya ‘kemahuan politik’ sahaja yang boleh menyelesaikannya di mana kerajaan pusat adalah pihak yang benar-benar berperanan untuk mengambil tindakan sewajarnya dan bukan melihat perkara ini dengan sebelah mata sahaja.
“Kita bukan tidak mahu orang asing datang ke negeri kita tetapi mereka haruslah memiliki dokumen sah dan bukan yang diperolehi dari pintu belakang yang didalangi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu sebahagian besar perwakilan UPKO dalam konvensyen Tahunan Bahagian Ranau itu berpendapat isu PTI kalau tidak ditangani dengan serius mungkin akan menjadisatu masalah ‘pembunuh senyap’ kepada pemimpin dan kerajaan Barisan Nasional sendiri suatu hari nanti.
Perwakilan dari cawangan Lohan 1, Taufek Dahlan, ketika membahas usul itu berkata, isu PTI telah disuarakan oleh UPKO secara berulang-ulang kepada pihak yang berwajib tetapi sehingga kini tidak ada tindakan serius untuk menanganinya.
“Pihak berwajib hanya membuat tindakan bersifat sementara apabila mendengar ada pihak yang bising mengenainya namun tindakan itu akan longlai kemudian tanpa susulan yang serius seolah-olah isu ini tidak penting atau membahayakan,” tegasnya.
Usul lain yang dibentangkan dan mendapat reaksi hebat dari perwakilan ialah mengenai ‘Perkongsian Kuasa Dalam Barisan Nasional’ yang antara lainnya meminta supaya perkongsian kuasa itu dilakukan dengan adil mengikut komposisi kaum, agama, jawatan dan sebagainya.
Perwakilan dari Cawangan Libang, Jasni Rijan, meminta supaya menghentikan sikap sebahagian pemimpin yang melobi atau meminta kawasan yang sedia disandang sesebuah parti untuk diberikan kepada parti tertentu.
Katanya, sikap seperti itu hanya akan menimbulkan pergeseran yang akhirnya akan menimbulkan perpecahan dalam komponen BN.
“Kalau ada kemampuan, lebih baik berjuang dapatkan semula kerusi BN yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya lalu,” tambahnya.
|