|
30th August, 2010
LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL), bakal mempunyai sebuah dewan kuliah bertaraf antarabangsa dan sebuah pusat perpustakaan yang baru yang membabitkan peruntukan sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK-10).
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jeneral Prof, Datuk Dr Kamaruzaman Ampon berkata, selain itu UMS-KAL juga telah merancang untuk menambah pusat asrama berikutan pertambahan jumlah pelajar yang dijangkakan dari 2,000 pada ketika ini kepada 5,000 orang dalam tempoh lima tahun.
Dalam waktu yang sama katanya, beberapa kemudahan lain di bawah peruntukan RMK9 yang belum dilaksanakan akan diteruskan seperti projek menaik taraf kompleks sukan yang berstatus antarabangsa dan membina gelanggang futsal.
“Semua kemudahan ini akan kita naik taraf bagi memperkasakan UMS-KAL sebagai sebuah pusat yang benar-benar mempunyai kemudahan yang bertaraf antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Projek Sistem Pengumpulan dan Guna semula Air Hujan sumbangan Petronas Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Katanya, kedua-dua projek yang membabitkan pusat perpustakaan dan juga dewan kuliah itu sudah diluluskan yang dijangka akan dapat dibina awal tahun depan.
|