Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
E_1
AmBank Islamic introduces Personal Financing-i |  Malaysia's 2021 growth rate expected to be at 6.6 pct – APIB CEO |  Kartel daging: kada’ komoyo’ nasalasai, KPDNHEP amu’ po ‘nokopomoug’ |  42 pain raha’ notimung id Keningau |  Pengguna jalan raya Beaufort ke Sipitang merayu pihak JKR dan pihak kontraktor perbaiki lebuh raya rosak |  Ketika sastera New Sabah Times berikan kita kenangan |  Sukarelawan tempatan sumbang barang makanan kepada 160 keluarga terjejas PKPB |  42 pain darah berjaya dikumpul anjuran Persatuan Jiang Man Wu Yi |  Perintah berkurung di perairan ESSZONE dilanjutkan 15 Jan |  Ucapan terima kasih, penghargaan untuk NST |  COVID-19: Polis adakan sekatan jalan raya di kawasan penempatan UNHCR Labuan |  NEW SABAH TIMES AKHIRI PENERBITAN |  Juliani to spearhead Sabah |  Cataract patient gets back normal eyesight with aid from RCKK Pearl, EyeMedics Specialist Eye Centre |  UMS PhD students shine at international conferences | 
 BM

Ketika sastera New Sabah Times berikan kita kenangan

31st December, 2020

KEMENANGAN Editor ITBM Zalila Isa pada Hadiah Sastera dan Media Negeri Sembilan November 2017, menjadikan akhbar New Sabah Times mencatat sejarah tersendiri selama operasinya sejak 1950-an. Walaupun pemilikan syarikat bertukar ganti sejak 1970-an dengan beberapa penjenamaan bermula North Borneo News dan Sabah Times pada awal terbitan 1950-an, kepada Kinabalu Sabah Times, kepada Sabah Times dan New Sabah Times pada 2000, dari segi pensejarahan sastera dan seni, NST di bawah pengendali ruang Bahasa Melayu, Haji Mohd Amin Haji Muin, melebarkan sayap hingga ke semenanjung, Brunei, Sarawak, Singapura dan Indonesia menerusi siaran karya penyair dan penulis di negeri dan negara berkenaan.

Jentera sastera NST diperkuatkan dengan Presca Tudol dan Alma Rakin, serta ilustrasi Raphiel Pinus, menjadikan gerakan sastera Sabah menjadi pesat dan ramai melahirkan penulis baharu, termasuk pelajar sekolah menengah di negeri ini.

Selain Zalila, NST turut mencatatkan beberapa sejarah penerima Hadiah Sastera Sabah (HSS) menerusi Hasyuda Abadi, saya sendiri. Terbaharu penerima Hadiah Sastera Sabah 2018/19 yang diumumkan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah, Aminah Awang Basar, ialah Hasyuda menerusi kategori puisi eceran berjudul Tanpa Catatan Penghormatan (kepada Tuan Mamad) siaran 21 Januari 2018 dan Nasiruddin Hassan (Lelaki yang Melompat Setiap Hari ke Langit, 25 Mac 2018). Kathirina pula menang kategori cerpen eceran berjudul Kisah Ibuku dan Tingatonnya siaran 23 Disember 2018, manakala cerpen Raz Rajim Diawa berjudul Aroma Payongon tersiar pada 27 Januari 2019.

Ia adalah suatu kenangan yang tidak akan dilupakan khusus kepada warga bahasa Melayu NST. Saya sebenarnya pernah bertugas sebagai wartawan NST dan selepas tidak lagi menjadi warga NST pada 2008 selepas berkhidmat selama kira 10 tahun sejak ia dibuka semula pada 1998, Tuan Haji Amin berikan saya satu kolum sastera (Resensi Sastera) pada 2010 dan membantu mendapatkan bahan sastera kalangan penulis Sabah dan Haji Mohd Amin Haji Muin membenarkan ruang itu dibuka kepada penulis Sarawak, semenanjung, Singapore, Indonesia dan Brunei.

Kolumnis sastera NST ini adalah satu-satunya berbayar berbanding kolumnis akhbar lain di Sabah.

Saya pernah mengajukan agar ruang itu dibuka kepada semua penulis semenanjung dan Sarawak, serta Indonesia dan Brunei dan Haji Amin bersetuju. Namun, sejak setahun lalu, perkhabaran menutup NST sudah bertanda, namun kita berdoa selalu agar ia terus kekal kerana sebagai akhbar tertua, ia amat sinonim dengan rakyat Sabah yang mana semua surat khabar dahulu di panggil ‘Sabahtime’.

Dalam kesusasteraan negeri khusus, Sabah Times, bermula North Borneo News & Sabah Times (NBN&NST) 1950-an, begitu banyak jasa terhadap perkembangan sastera Sabah, sejak satu kolum untuk siaran karya sastera di NBN&ST, hinggakan di jenamakan sebagai Kinabalu Sabah Times kepada Sabah Times, kepada New Sabah Times.

Sejak era Allahyarham K Bali, ke Emin Madi sastera Sabah di akhbar berkembang maju dan apabila sampai pada tahap Haji Amin, sastera Sabah berkembang keluar dari jagat sempadan negeri dan ramailah penulis baharu dari banyak negeri mengasah bakat mereka di NST.

NST adalah kilang sastera kepada pemula yang akhirnya ada memuncak kariernya sebagai penulis sastera yang matang dan berkeliber. Sudah tentu yang ada di belakang tabir selain Haji Amin ialah, Presca Tudol dan Alma Rakim telah mengembangkan sastera akhbar khusus di NST telah turut berikan saingan menang Hadiah Sastera Sabah (HSS) dan mencapai rekod di Negeri Sembilan menerusi Hadiah Sastera Negeri Sembilan.

Saya menerima banyak ucapan simpati dan terima kasih atas siaran karya di NST dan saya sentiasa kembalikan ucapan baik itu kepada pihak Haji Amin, Presca dan Alma, sebab saya hanya membantu dan yang menentukan siar tidaknya karya itu ialah pihak editor. Perlu juga kita maklumkan Haji Amin adalah antara penulis sastera juga pada tahun2 1970an dan antara pengasas Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa). Sementara kewartawanan hinggalah membawa Haji Amin sebagai Editor, maka keprihatinan dan mengambil berat akan perkembangan sastera Sabah khususnya serta penulis muda di seluruh negara turut menjadi perhatian dan perbincangan kami pada masa-masa terluang.

“Kami buka sedikit ruang kepada penulis dari negeri lain kerana mahu pengkarya Sabah terus bersaing dan meningkatkan kualiti menerusi perbandingan karya dari luar,” kata Haji Amin, menjawab persoalan mengenai ruang sastera NST sepatutnya hanya kepada penulis Sabah.

Dalam perkembangan lain, Haji Amin juga berikan komitmen dan kerjasama dalam menganjurkan sayembara menulis cerpen dengan pihak BAHASA, Persatuan Penulis Momgunsia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta mempunyai hubungan rapat dengan DBP Cawangan Sabah.

Saya berharap akan ada penghargaan daripada pelbagai pihak kepada Haji Amin sebagai pejuang sastera Sabah.

Dibawah pengurusan Haji Amin, kemuncak hubungan NST dengan DBP ialah apabila saya dianugerahi Wartawan DBP pada 2004, sebagai menghargai hubungan NST yang sentiasa berikan liputan akhbar dalam mana-mana program DBP Cawangan Sabah. Semua ini pasti menjadi kenang-kenangan kepada semua penulis tidak kira Sabah, Sarawak, semenanjung, Singapura, Indonesia dan Brunei kerana NST menjadi pemula hub sastera Asia Tenggara menerusi siaran akhbarnya. Ia mencetuskan hubungan akrab dengan semua lapisan penulis dari pelbagai negara.

Setelah beberapa tahun, NST pun bagaikan milik kebanyakan penulis termasuk dari luar Sabah dan ia berikan kesan kesedihan kepada mereka apabila NST bakal ditutup pada akhir Disember.

Yang ada pada saya secara khusus ialah hak cipta siaran sastera NST itu diberikan oleh Haji Amin kepada Jom Sastera dan saya akan usahakan terbit buku antologi berkenaan sebagai terima kasih kita kepada Haji Amin dan staf editorial BM. Semua bahan sudah saya kumpul dan akan maklumkan pada masa akan datang dan kita berharap Haji Amin akan rasmikan pelancaran antologi karya NST tahun depan, Insya-Allah. Ini juga bermakna, Haji Amin berikan hak cipta penyiaran karya di NST kepada saya selaku Ketua Satu Jom Sastera Malaysia. Katanya itu akan dikumpul untuk diantologikan dari semasa ke semasa.

Saya mewakili diri saya sendiri mengucapkan ribuan terima kasih kepada Haji Amin Haji Muin, Presca Tudol dan Alma Rakim. Saya doakan kesejahteraan semua harungi cabaran kehidupan. Kepada rakan lain di NST juga diharap maju jaya. Saya menerima dan menyampaikan ucap terima kasih dan terharu kepada Haji Amin, Presca dan Alma daripada ramai sahabat. Mereka berkata jasa itu tetap akan di kenang walau di mana berada.

Apa pun kita berharap NST kembali beroperasi pada tahun akan datang sama ada bentuk fizikalnya sedia ada atau menerusi portal berita. Ya. Hari sini sejarah mula mencatatkan keakraban kita semua sebagai satu keluarga dalam kesusasteraan Malaysia dan ia berikan keterharuan, moga semua maju jaya, Insya-Allah.

   
Email Print