30th December, 2020
OLEH NAZRINI BADARUN
TAWAU: Jabatan Kesihatan Kawasan Tawau telah mengenakan kompaun terhadap enam individu atas kesalahan gagal melakukan penjarakan sosial dan mengeluarkan notis kehadiran ke mahkamah ke atas empat premis di daerah ini pada Isnin.
Pegawai Kesihatan kawasan Tawau, Dr G. Navindran dalam satu kenyataan berkata, sepasukan anggota telah melakukan operasi pemeriksaan terhadap 11 premis.
“Hasilnya kita telah kompaun enam orang di bawah Akta 342 atas kesalahan duduk semeja di restoran tanpa penjarakan sosial.
“Manakala notis kehadiran ke mahkamah ke atas empat premis kerana kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan melaksnakan operasi bersepadu dan berkala terutama ketika mendapat aduan orang awam berkaitan ketidakpatuhan Prosuder Operasi Standard (SOP) sehingga boleh menyebabkan penularan wabak COVID- 19.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta berhati-hati terutamanya jika berada di tempat ramai orang dan mematuhi SOP.
Katanya, operasi adalah penting bagi menimbulkan kesedaran kepada orang awam agar mereka sentiasa mematuhi SOP sekaligus membendung penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda.
“Oang ramai perlu lakukan penjarakan sosial dan memakai pelitup separuh muka yang bersesuaian serta tidak bersalaman atau bersentuhan dengan orang lain,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perunndangan iaitu mengenakan kompaun terhadap individu yang melanggar SOP yang berkaitan.
“Setiap kompaun adalah bernilai RM1,000 dan tidak boleh dikurangkan,” katanya lagi.
|