30th December, 2020
OLEH ALIZA ALAWI
SANDAKAN: Ketua-ketua adat di daerah ini dinasihatkan agar tidak memberi pengesahan kelahiran secara mudah tanpa usul periksa yang lebih teliti.
Pembantu Menteri II, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Haji Mohamad Hamsan Haji Awang Supain berkata, tindakan sedemikian perlu diberi perhatian agar pengesahan kewarganegaraan seseorang itu tidak sewenangnya dimiliki oleh mereka yang bukan warga tempatan.
Menurut Hamsan, pengesahan kelahiran, kematian, pernikahan dan sebagainya itu adalah antara perkara penting yang wajib dititik beratkan sekaligus mengelak tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang boleh mengganggu gugat keamanan negara.
“Bagi pengesahan kematian, pernikahan, kelahiran dan sebagainya, bagi tandatangan kena hati hati.. Periksa betul-betul, jangan tandatangan sembarangan,” katanya lagi.
Justeru itu, Hamsan menyeru agar ketua kampung atau ketua anak negeri perlu menyediakan buku catatan. Dimana, setiap ada kelahiran atau kematian di kawasan mereka perlulah dicatatkan maklumatnya dan dinyatakan sama ada warga tempatan atau bukan.
“Ketua kampung atau ketua anak negeri perlu ada buku log. Setiap yang lahir atau meninggal di kampung itu catatkan di buku itu dan ianya perlu dititipkan ke ketua kampung yang seterusnya. Contoh kalau ada yang lahir kita catatkan maklumat sekali dengan bidannya.. Pastikan itu orang warga tempatan, bagi pengesahan kepada mereka yang layak, ini penting untuk negeri dan negara kita,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ketua Adat Bagi Daerah Sandakan di Mahkamah Anak Negeri di sini pada Selasa.
Terdahulu, pada majlis itu turut menyaksikan Hamsan menyampaikan surat pelantikan kepada 48 orang ketua adat anak negeri yang dilantik di daerah tersebut.
Sehubungan itu, Hamsan juga agar mengingatkan ketua-ketua adat supaya melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin demi menjamin kelangsungan kesejahteraan.
Jelas beliau, sebagai pemimpin mereka haruslah memberikan komitmen tinggi terhadap tugas yang diamanahkan
kepada mereka dalam membantu seluruh lapisan masyarakat termasuk menangani sebarang permasalahan yang timbul dengan penuh integriti.
|