Local
Foreign
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Classifieds
In_sites_link
Football-link
Smbb-logo
Volvo XC60 with new Drive-E engine |  Masyarakat disaran fahami asas perundangan negara |  Orang ramai digalak sertai Jabatan Kebajikan |  Jainab: Orang ketiga punca kenaikan harga barang kawalan di Tawau |  Kurup minta Kementerian Pendidikan bina bangunan baru SK Lotong Sepulut Nabawan |  Pemimpin akar umbi digesa pertingkat k-sama dengan kerajaan |  Pasar Tani kekal bakal diwujud di Papar |  MAYAT NAHAS MH17 DIJANGKA TIBA BULAN DEPAN |  Pogiuman hivang montok Pasar Tani Potindooi id uvang Papar: Abdul Rahim |  Pulis marin nakahantoi minagaau tontohu pondu hinimu |  PISOSOOMO KOIKOT VUHAN TIISO TINAN MUNGGUI MH17 |  EPL teens stepping into the unknown |  Mata warms to United manager’s tactics |  Sabah to host National Mountain Bike C’ship |  Blessing in disguise for hulksters | 
 BM

KORIDOR PENYELAMAT BAGI HIDUPAN LIAR TERANCAM

3rd August, 2010

KOTA KINABALU: Hidupan liar di Sabah yang diancam kepupusan dijangka menyaksikan peluang survival yang lebih baik, terima kasih kepada ‘koridor penyelamat’ yang diperkenal kerajaan negeri Sabah.

Koridor penyelamat ini bukan sahaja bertujuan mewujudkan lebih banyak hutan bagi hidupan liar untuk merayau tetapi juga bagi merealisasi matlamat kerajaan negeri dalam memastikan 55 peratus daripada muka bumi Sabah diliputi hutan.

Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun berkata program ini akan membabitkan pemulihan rizab ‘riparian’ untuk mewujudkan laluan bagi hidupan liar bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.

“Banyak pihak, khususnya pemilik ladang kelapa sawit, menanam tanaman mereka hingga ke tebing sungai, oleh itu menghalang laluan hidupan liar,” kata beliau Hutan ‘riparian’ merupakan kawasan hutan bersebelahan dengan saluran air seperti sungai, anak sungai, kolam, tasik, tanah paya, muara atau terusan yang menghubung- kan hutan yang terpisah.

“Kami akan memulihkan kawasan ini (rizab riparian) dan kami mengesyorkan alternatif kepada semua pemilik tanah untuk berhenti daripada menjalankan aktiviti pertanian di rizab riparian kerana apabila mereka bertani sehingga di tebing sungai, hidupan liar, khasnya gajah akan mendapati sukar untuk melintas sungai,” katanya.

Koridor penyelamat ini menjadi tumpuan di daerah Kinabatangan, di pedalaman Sabah, yang akan membabitkan kawasan yang luas untuk mewujudkan rizab riparian.

“Kami sedang membeli tanah ini sedikit demi sedikit dan kami juga menggalakkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu mencari sumber kewangan kerana kami mahu ia dimiliki oleh semua.

Masidi berkata pelaksanaan program ini akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar serta Jabatan Tanah dan Ukur, dua pihak penguatkuasa. “Penguatkuasaan bermakna atas apa-apa alasan jika seorang petani atau pemilik ladang menceroboh rizab riparian, mereka sebenarnya melakukan kesalahan di bawah Kanun Tanah.

“Oleh itu langkah pengkuatkuasan akan diambil oleh Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya.

Idea koridor penyelamat ini ialah untuk membenarkan hidupan liar merayau dan mencari makanan dengan bebas dan juga memberikan mereka lebih banyak peluang untuk membiak.

“Hidupan liar semakin kehilangan habitat mereka dan terpaksa masuk jauh ke dalam hutan dan yang lebih buruk lagi, pembersihan hutan menyebabkan hutan terpisah.

“Oleh itu, haiwan tidak dapat bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari makan dan apabila mereka masuk ke ladang-ladang, mereka menjadi sasaran pemilik ladang dan pemburu haram,” katanya dengan menambah kata beruang matahari merupakan antara spesies paling terancam di negeri ini.

Masidi menunjukkan bahawa Stesen Hutan Malua yang merangkumi kawasan seluas 144,320 hektar merupakan antara program pemuliharan yang signifikan khusus bagi hidupan liar.

“Kita juga mempunyai Lembah Danum dan Sanktuari Hidupan Liar Sepilok yang merangkumi kawasan seluas 5,000-6,000 hektar.

“Lebih kurang 50 peratus daripada hutan di Sabah sudahpun dilindungi dan kami sedang memulihkan dua peratus lagi kawasan yang dibalak, menjadikannya kawasan yang dilindungi,” kata beliau.

Objektif jangka panjang kerajaan ialah untuk memastikan 55 peratus daripada negeri ini diliputi hutan. Untuk berbuat demikian kerajaan negeri akan meningkatkan bilangan hutan rizab.

Sebenarnya, persidangan Dewan Undangan Negeri April lepas meluluskan 10,000 hektar lagi hutan rizab dan cara ini sudah pasti dapat menyelamatkan hidupan liar.

“Yang satu lagi, kami juga memperkenalkan had menanam yang menghalang pihak tertentu daripada menanam sehingga di tebing sungai. Walaupun ramai yang tahu akan larangan ini tetapi pemilik ladang masih menanam hingga ke tebing, oleh itu menghalang laluan hidupan liar,” katanya.

“Jadi jika orang ramai bertanya apa yang kami lakukan untuk menyelamat spesies yang diancam kepupusan di Sabah, kami telah menyediakan mereka habitat semula jadi supaya mereka boleh membiak dengan bebas tanpa diburu atau diancam.

“Pada asasnya kami mahu generasi berikutnya berpeluang melihat hidupan liar ini di habitat semula jadi mereka dan bukan di dalam buku sejarah atau di dalam buku mengenai haiwan. Saya rasa kita perlu meninggalkan satu warisan yang baik bagi generasi masa depan,” katanya.

Menurut Jabatan Hidupan Liar Sabah, spesies yang diancam kepupusan kebanyakannya boleh ditemui di Hutan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu dan Ulu Segama, lebih kurang 400km dari ibu negeri. Yang lain merayau di pelbagai bahagian negeri ini.

Pengarahnya Laurentius N. Ambu berkata rusa merupakan spesies dilindungi yang paling terancam kerana diburu untuk mendapatkan daging, kulit dan tanduknya.

Spesies lain yang turut dilindungi ialah gajah, badak Sumatera, Orang Utan dan beberapa spesies monyet, termasuk monyet bangkatan, yang sering dibunuh kerana menceroboh kawasan pertanian.

Sabah dibahagikan kepada empat jenis habitat hidupan liar, hutan pantai dan paya bakau, hutan dipterocarp, hutan batu kapur dan montan.

Mengikut Enakmen Hidupan Liar dan Pemuliharaan 1997, sanktuari semula jadi merupakan kategori pemuliharaan paling andal bagi fauna, flora dan sumber genetik serta habitat.

   
Email Print
   
 
 
E-browse
Actionline