|
29th July, 2010
TAWAU: Seorang wanita tempatan berusia 54 tahun ditemui mati dipercayai akibat sesak nafas setelah diikat dua penyamun adik-beradik warga Indonesia, yang juga merupakan pekerja suaminya.
Mayat wanita itu ditemui di rumahnya di Kg. Rancangan Kalabakan dalam keadaan tertiarap dengan tangan dan kakinya diikat ke belakang manakala mulut dan hidungnya diikat menggunakan kain.
Dalam kejadian pada Selasa itu, sur irumah malang yang dikenali penduduk sebagai Makcik Yu itu dipercayai berada seorang diri sebelum kejadian kerana suami dan anaknya pergi bekerja.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Imran Abdul Rahman, berkata dua suspek lelaki terlibat yang masing-masing berusia 16 dan 24 tahun kini sudah pun ditahan pihaknya.
Menurutnya, kedua-dua berbangsa Lombok dan tidak mempunyai keterangan diri itu, ditangkap dengan bantuan orang kampung di Jeti Felda Umas ketika cuba melarikan diri dan melawan polis.
Hasil penahanan itu, pihak polis katanya berjaya menemui sejumlah barang kemas, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM1,500 dipercayai milik mangsa.
Siasatan awal menunjukkan kedua-dua suspek datang ke Kalabakan kira-kira 3-4 hari lepas, sebelum bekerja di gerai suami mangsa.
“Kini kita menunggu laporan pakar patologi tentang punca sebenar kematian mangsa,” katanya.
Kes itu jelasnya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
|