Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
E_1
Voters returning from red zone told to undergo home quarantine |  Expected business distress post-moratorium manageable – CGC |  Upward trend in LI boost consumer, investor sentiment – Economists |  Mogigiyon noduhan manakau karan tu' koowit koligogonon |  Arthur Kurup poposili PRN di katatalib posunduran koinsonongan |  GRS minomihi di Hajiji sabaagi Vozoon Montili Sabah |  Majlis Kuliah Maghrib di Surau Ar-Rahman berlangsung cemerlang |  JBPM L-Datu ingatkan masyarakat jangan 'curi karan' |  Malaysia Airports tambah baik kemudahan saringan penumpang dari Sabah |  Kira-kira 32 pegawai dan anggota bomba di LD jalani ujian saringan COVID-19 |  Hajiji tokoh politik diyakini mampu bawa pembangunan Sabah |  Hajiji angkat sumpah Ketua Menteri baharu hari ini |  Peter drops bombshell |  Sarawak didn’t break any law to set up international schools – minister |  “Luk Chup” a popular dessert in Kota Bharu | 
 BM

Kempen mulai hangat di kubu kuat Warisan, Semporna

15th September, 2020

SEMPORNA: Siri kempen di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Semporna semakin rancak dengan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin giat mendekati pengundi.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat antara yang agak agresif berkempen di kubu kuatnya di sini sebaik sahaja diumumkan calon bagi mempertahankan kerusi DUN Senallang, Sabtu lalu.

Ketua Menteri itu mengorak langkah dengan mengunjungi Pulau Bum Bum yang mengambil masa perjalanan kira-kira 10 minit dari pekan Semporna dengan menaiki bot.

Berdepan dengan pertandingan lima penjuru, Mohd Shafie meluangkan masa dari tengah hari hingga lewat malam pada hari pertama berkempen dengan mengunjungi kawasan perkampungan di pulau itu yang mempunyai kira-kira 32,000 penduduk.

DUN Senallang, Sulabayan dan Bugaya terletak di bawah Parlimen Semporna.

“Sebanyak 80 peratus kaedah berkempen saya gunakan adalah dengan bertemu dan mendampingi . Tidak semua ada kemudahan telefon dan internet. Kalau kita berjumpa pengundi, mereka boleh lihat wajah kita,” katanya.

Pada hari kedua dan ketiga berkempen, Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna, turut menjelajah dan berkempen di beberapa kampung sekitar Semporna sebelum ke kawasan lain iaitu Kunak, Lahad Datu serta Tawau bagi membantu kempen partinya.

Menerusi pemerhatiannya, sambutan dari segi kehadiran penduduk ke majlis kempen amat memberangsangkan.

Sementara itu, lain pula ceritanya bagi pencabar Mohd Shafie, Norazman Utoh Nain, calon Perikatan Nasional(PN) apabila beliau terlebih dahulu membuka tirai kempennya dengan bertemu ketua masyarakat dan kaum di sekitar DUN Senallang.

“Setakat ini saya berjaya berjumpa lebih 50 peratus ketua kaum di DUN ini dan selepas ini kaedah kempen akan berubah sedikit. Kita akan mula masuk ke 11 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan kita jadualkan melawat tiga PDM dalam masa sehari,” katanya ketika ditemui di markas PN Senallang kelmarin.

Enggan dibayangi Mohd Shafie, yang juga pakciknya sendiri, Norazman berkata beliau mahu menerangkan kepada pengundi betapa perlunya perubahan pimpinan di kawasan itu ekoran dakwaan kurangnya pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh pemimpin sebelum ini.

Sementara itu, calon PN DUN Bugaya pula, Mohd Daud Tampokong, yang berdepan pertandingan tujuh penjuru, berkata walaupun sebagai calon muka baharu namun gerak kerja jentera sudah semakin tersusun untuk mendampingi pengundi di peringkat akar umbi.

Ketua Bersatu Bahagian Semporna itu berkata setakat ini beliau sudah berkempen sehingga meliputi empat daripada 11 kawasan PDM di DUN itu dengan membawa fokus mengenai betapa pentingnya kerajaan negeri selari dengan kerajaan persekutuan bagi memudahkan agenda pembangunan dapat direalisasikan.

Bagaimanapun, gerak kerja kempen bagi calon beberapa parti lain seperti Parti Cinta Sabah, USNO, serta calon Bebas masih kurang kelihatan, malah bendera dan poster mereka masih tidak kelihatan di sini.

Setakat ini, poster dan bendera parti terutamanya membabitkan blok utama – Warisan Plus, Barisan Nasional (BN) dan PN mula dipacak di pelbagai lokasi tumpuan dengan jentera parti bertungkus lumus, tanpa mengira hujan dan panas menyiapkan tugasan mereka.

Warisan boleh dikatakan mendominasi perang bendera dan poster di ketiga-tiga DUN itu apabila hampir kesemua jalan utama dipenuhi dengan bendera parti itu, selain papan iklan gergasi memaparkan wajah Mohd Shafie dengan moto ‘In God We Trust, United We Must’.

Jumlah pemilih berdaftar di DUN Senallang pada PRN Sabah, 26 Sept ini, adalah sebanyak 14,336 orang, DUN Bugaya (20,267) dan DUN Sulabayan (14,012). – Bernama

   
Email Print