|
18th March, 2010
KENINGAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat kelmarin menegaskan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan tegas, kepada sesiapa yang menjadi punca berlakunya kebakaran.
“Tidak ada kompromi,” jelas Penguasa Zon Bomba dan Penyelamat, Philip Pudon.
Beliau berkata, bomba telah mengenalpasti punca berlaku kebakaran belukar di daerah ini, disebabkan laratan pembakaran disamping penyumbang utamanya di kalangan perokok.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab, dan sentiasa mematuhi nasihat jabatan berwajib supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka.
Kepada golongan perokok, beliau memberi ingatan bahawa perbuatan membuang puntungan rokok, sehingga menerbitkan punca api boleh dikenakan tindakan.
“Mereka merokok sambil memandu dan selepas itu membuang puntungan itu begitu sahaja,” tambahnya.
Penyiasatan kes kebakaran yang berlaku di daerah ini mendapati bermula daripada jalanraya, dan ia diterbitkan oleh puntungan yang dibuang oleh perokok.
Philip berkata, jabatannya sedang memantau kegiatan itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.
Sementara itu di daerah kecil Sook, kebakaran berlaku di beberapa lokasi dalam tempoh yang sama, menyebabkan usaha mengawal dan memadam terlalu sukar.
Penduduk terpaksa bergotong royong, atau mengawal kebun masing-masing untuk mengelak laratan kebakaran tersebut.
Sehingga jam 2 petang kelmarin, kebakaran belukar di daerah itu masih belum diatasi. Bomba dan Penyelamat yang dibantu oleh penduduk setempat berganding bahu untuk memadam kebakaran itu.
|