16th March, 2010
- SUZIE, penduduk dari Taman Mepo, Kolombong kecewa apabila surat-surat yang diagihkan oleh Posmen didapati tidak sampai ke alamat rumah penerima.
“Saya hairan mengapa masalah seperti ini boleh timbul sedangkan masalah penghantaran surat dari rumah ke rumah kediaman tidak pernah menjadi masalah kepada penduduk yang tinggal di sekitar kawasan ini,” katanya.
Menurutnya, masalah ini timbul minggu lalu apabila surat-surat milik jirannya yang tinggal beberapa blok daripada rumah beliau berada di dalam peti surat lain.
“Ini menunjukkan kakitangan yang bertugas tidak serius dalam menjalankan kerja mereka yang dilihat seperti kelam kabut. Ada juga jiran yang tinggal di hadapan rumah saya juga merungut, kerana surat-surat miliknya hanya dilemparkan di perkarangan rumah.
“Posmen itu sepatutnya menyerahkan surat itu kepada penerima sendiri, tetapi setelah mendengar salakan anjing milik penerima, surat itu kemudiannya hanya di lontar di perkarangan rumah, sebelum beredar pergi.
“Ada satu ketika, apabila saya menerima surat berdaftar, saya diarahkan segera untuk mengambil dokumen peribadi sebagai contoh Mykad sebelum dokumen diserahkan.
“Layanan tidak mesra yang datang daripada posmen ini benar-benar membuat saya terkejut dan terkilan,” katanya menambah.
Beliau juga mengimbas kembali tinjauan post master ke kawasan perumahan di Taman Mepo, untuk mendapat maklumbalas mengenai perkhidmatan hantaran barangan atau dokumen ke rumah-rumah kediaman dan hasil daripada tinjauan itu, penduduk di beritahu posmen yang ditugaskan hanyalah bekerja sebagai kontrak dan bukannya sepenuh masa.
- Jurucakap dari Pos Malaysia mengatakan mereka akan membuat siasatan mengenai dakwaan SUZIE terhadap kakitangan posmen yang ditugaskan menghantar surat-surat ke kawasan berkenaan.
|