|
15th March, 2010
KENINGAU: Kuantiti air Sungai Pegalan semakin kritikal, ekoran musim panas yang masuk bulan ke tiga di daerah ini.
Tinjauan mendapati, kebimbangan di kalangan pengguna semakin memuncak, khususnya pesawah yang menjadikan sungai itu sebagai nadi pengairan.
“Penanaman luar musim pasti tidak akan berlaku pada tahun ini,” jelas seorang pesawah, Micheal Joseph, 41.
Micheal berkata, paras Sungai Pegalan surut sehingga 80 peratus dan di jangka akan meningkat secara mendadak dalam tempoh terdekat.
Kebanyakan sungai di pesisir Trans Pegalan yang melibatkan sekurang-kurangnya 100 buah kampung didapati kering sejak seminggu yang lalu.
Kekurangan kuantiti air turut menjejaskan kekuatan janaan hidro pangi, yang membekalkan tenaga elektrik di seluruh negeri.
Sementara itu di Nabawan, bekalan air bersih mulai terjejas ekoran kuantiti air Sungai Penawan mulai berkurangan.
Beberapa kampung di daerah itu turut mendakwa ketiadaan bekalan air sejak beberapa minggu yang lalu.
Fenomena alam yang menyaksikan musim kemarau berpanjangan mulai penghujung tahun yang lalu, menyaksikan bekalan air menjadi isu utama.
|