|
14th March, 2010
KOTA KINABALU: Sejumlah 34,252 rakyat Brunei melawat negeri ini tahun lepas dan dijangka jumlah itu akan meningkat tahun ini dengan adanya penerbangan harian dari negara itu ke Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun berkata, bilangan kedatangan pelancong dijangka akan bertambah dengan adanya penerbangan harian yang disediakan Royal Brunei Airlines dan AirAsia dari Brunei ke Kota Kinabalu.
Selain itu katanya, rakyat dari Brunei juga boleh memasuki Sabah menggunakan feri melalui jeti Menumbok dan jalan darat yang dilihat amat popular di kalangan rakyat negara itu untuk berkunjung ke sini.
“Kita berharap dapat menarik lebih ramai pelancong dari Brunei, dengan adanya kemudahan pusat membeli belah bertaraf dunia di Sabah.
“Rakyat Brunei telah menunjukkan minat mendalam untuk membeli belah di negeri ini, terutama sekarang kita ada 1Borneo dan Suria Sabah yang akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama Ketua-ketua Perwakilan dan Diplomat Asing di Brunei Darussalam ke Sabah, di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada malam Jumaat.
Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Bolkiah Ismail.
Masidi berkata, Sabah adalah antara negeri yang mempunyai keindahan dan kepelbagaian destinasi pelancongan yang pastinya dapat menambat hati para pelanconga dari dalam dan luar negara.
“Kekuatan utama kita terletak pada hutan hujan dara yang berusia ratusan tahun, pulau-pulau yang mempesona, pemuliharaan sanktuari hidupan liar bertaraf dunia dan warisan budaya,” katanya.
Pada majlis itu para diplomat dihiburkan dengan pelbagai tarian kebudayaan suku kaum di Sabah termasuk tarian Sumazau, Igal-Igal, Mogunatip dan Mongigol.
Selain itu para tetamu juga dipertontonkan tempat-tempat destinasi pelancongan menarik yang terdapat di negeri ini.
|