|
8th February, 2010
SANDAKAN: Badan-banda bukan kerajaan (NGO) berperanan untuk membantu proses pemulihan di kalangan penagih dadah di daerah ini dengan cara menyediakan perkhidmatan alternatif kepada masyarakat di negeri ini.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abd Bakir Haji Zin, berkata badan-badan Ngo ini boleh menyediakan Pusat Pemulihan Persendirian untuk membantu mencegah penagihan semula di kalangan penagih apabila mereka sudah dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) kelak.
“Ini bukan bererti pemulihan yang diamalkan di PUSPEN tidak berjaya apa yang penting bila mereka bebas dari PUSPEN itu sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian AADK Daerah Sandakan sempena lawatan kerja beliau ke Sabah selama tiga hari baru-baru ini.
Beliau berkata Pusat Pemulihan Persendirian ini boleh membantu kalangan penagih yang mengalami tanda-tanda slip, lapse dan relapse.
Abd Bakir berkata buat masa ini kes-kes pengawasan di Sabah hanya mendapatkan pemantauan daripada pegawai-pegawai di AADK Daerah sedangkan ada kes-kes pengawasan yang tinggal agak jauh daripada pejabat AADK yang sedia ada.
“Makan peranan Ngo dalam menyediakan pusat rawatan persendirian inilah yang akan dapat membantu AADK untuk membantu kes-kes pengawasan menjalani tempoh pemulihan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata cawangan Penguatkuasa AADK pada masa ini juga menumpukan dalam usaha menguatkuasakan Akta Agensi Antidadah 2004 pada fasa pertama yang tertumpu kepada menguatkuasakan, menjalankan, menunaikan dan melaksanakan kuasa, kewajipan dan fungsi di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Dalam usaha ini, katanya semua AADK telah diarahkan untuk melaksanakan 1 Operasi,1 Minggu, 1 Kali bagi satu daerah.
Beliau berkata pada tahun lepas sahaja AADK Sabah telah menjalankan sebanyak 143 operasi dengan menjalankan ujian saringan dadah dalam air kencing terhadap 2,368 orang individu dan dari jumlah itu seramai 127 orang didapati positif seringan dadah jenis methamphetamine.
Bagaimanapun, kata beliau hanya seramai 114 yang disahkan positif dadah dan dari jumlah itu seramai 102 orang penagih baru dan 12 orang adalah penagih berulang.
Abd Bakir berkata sebanyak 172 aduan juga diterima oleh AADK Sabah tahun lepas dari orang awam berkaitan permasalahan dadah melalui pelbagai saluran seperti panggilan telefon, fax, bersemuka dan kiriman e-mail.
Beliau berkata daripada jumlah aduan itu 96 aduan berjaya diselesaikan, 22 aduan telah dipanjangkan kepada Polis diraja Malaysia kerana melibatkan pengedaran dadah, 50 lagi aduan masih dalam tindakan pihak AADK dan hanya dua aduan palsu.
Mengenai usaha memerangi dadah, Abd Bakir berkata usaha memerangi dadah adalah agenda berterusan AADK Kebangsaan dengan menggunakan pelbagai pendekatan bagi menangani masalah dadah ini untuk mencapai misi 2015 tanpa dadah.
Beliau berkata masalah dadah boleh dia atasi sekiranya kita mengamalkan pendekatan integrasi seperti yang diamalkan oleh AADK Saabh melalui pelbagai perbincangan terutamanya dalam Mesyuarat Majlis tindakan Membanteras Dadah Sabah tahun lepas.
Abd Bakir berkata pendekatan ini membawa kerjasama yang cukup baik kepada semua jabatan terutama jabatan yang menjalankan penguatkuasaan dadah dan apa yang menarik lebih ramai pemimpin masyarakat tampil mendapatkan khidmat dan kerjasama daripada AADK bagi mengadakan program cluster di kampung masing-masing.
Pada majlis itu, Abd Bakir juga diberikan taklimat oleh Pengarah AADK Sabah, Bakri Bibi tentang pencapaian AADK Sabah sepanjang tahun lepas.
Pada hari yang sama, Abd Bakir mengadakan lawatan kerja ke AADK Kota Kinabalu.
Sehari sebelum itu, Abd Bakir juga mengadakan lawatan kerja ke AADK Daerah Tawau dan melawat kawasan-kawasan panas di daerah itu dan menyertai Program Gotong Royong Perdana di Tanah Perkuburan Batu 4 Jalan Apas, Tawau.
|