|
8th February, 2010
KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal nyaris maut apabila motosikalnya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang warga British di Jalan Tuaran kelmarin.
Penunggang itu dalam perjalanan dari Inanam untuk menghadiri majlis pertunangan sepupunya di Petagas apabila kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.45 petang.
Hasil siasatan penunggang motosikal itu memandu di laluan perlahan apabila kenderaan 4WD itu tiba-tiba keluar selepas membuat pusingan U dari arah bertentangan dekat Likas Garden, tidak jauh dari Sekolah Menengah Shan Tao.
Akibat kemalangan itu penunggang yang dikenali sebagai Mohamad Khairul Sumar, 25, melambung dari motornya ke atas cermin sebelah kiri kereta itu sebelum jatuh ke atas jalan raya.
Mangsa mengalami patah tangan dan dikejatkan ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) oleh ambulans yang tiba tidak lama selepas itu.
Lelaki British dalam lingkungan 50-an itu dan dua penumpang warga Eropah tidak mengalami kecederaan.
Pemandu itu kemudiannya dipanggil ke bahagian trafik Balai Polis Bandaraya untuk merekodkan kenyataannya dan penyiasatan di bawah Seksyen 43 Akta Jalan Raya (RTA).
Pada 18 Jan tahun ini, seorang ahli Persatuan bulan sabit merah, Mohd Saiful Saiman, 25, juga terbabit dalam kemalangan sama kira-kira 20 meter dari kejadian kelmarin.
Ketua Trafik dan Ketentermaan Awam Negeri, Supt Zahari Ahmad, ketika dihubungi menasihati pengguna kenderaan supaya berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka ketika memandu di kawasan yang sering berlaku kemalangan.
“Pastikan kita mematuhi had kelajuan yang dibenarkan di jalan-jalan utama dan sering berlaku kemalangan,” katanya.
Zahari berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu yang degil dan melanggar peraturan keselamatan jalan raya.
Beliau juga mengingatkan mereka yang hendak ‘pulang kampung’ menjelang Tahun aru Cina ini supaya memeriksa kenderaan mereka sebelum mengadakan pulang.
“Sila berikan perhatian dan tumpuan ketika memandu, elakkan menggunakan telefon bimbit dan jangan melanggar lampu isyarat jalan raya dan memotong apabila keadaan tidak selamat,” nasihatnya.
Beliau berkata peronda bermotosikal trafik akan mengawasi kawasan-kawasan strategik di sepanjang jalan utama di seluruh negeri semasa sambutan Tahun Baru Cina ini.
Menjawab pertanyaan, Zahari berkata polis masih menunggu bedah siasat dan juga laporan dari Jabatan Kimia untuk mementukan punca kemalangan yang berlaku selepas tengah malam Jumaat.
Dalam kemalangan itu, tiga doktor yang bertugas di Hospital Likas adalah antara empat yang terbunuh dalam kemalangan selepas jam 12 pagi itu di Lebuh raya Pantai, kira-kira 100 meter dari Pejabat New Sabah Times.
Keempat-empat doktor itu menaiki kenderaan BMW 335i melanggar bahagian belakang bas 27 tempat duduk mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbalik.
Tiga doktor itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan yang serius di kepala dan anggota badan manakala seroang lagi rakan mereka terselamat tetapi patah kaki dan mula pulih di QEH.
Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang wanita bas itu yang meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
“Polis akan menyiasat dari semua sudut untuk memastikan puca kemalangan itu,” kata Zahari.
|