|
11th January, 2010
KENINGAU: Naib Ketua Belia Usia Negeri Sabah, Mohd Zaki Laumin, menyokong penuh saranan Presiden Majlis Jaksa Pandamai Malaysia, Datuk Seri Panglima Clarence Malakun supaya rela menggugurkan perkataan Allah, bagi menjaga perasaan masyarakat Islam di negara ini.
“Kita hidup dalam sebuah negara yang paling aman, dan tidak perlu bagi kita untuk terlalu emosi dalam sensitiviti agama,” katanya.
Clarence dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh hampir kesemua akhbar tempatan di negeri ini, dipetik sebagai berkata;
“Orang Kristian sepatutnya faham masyarakat Islam marah kerana perkataan ‘Allah’ telah digunakan di Malaysia sejak azali lagi dan ia juga merujuk kepada Tuhan bagi Islam’.
Beliau juga berkata, setelah melihat kejadian gereja dibakar di Semenanjung, mereka seharusnya menyedari perkara ini dan segera menyelesaikan tanpa membuang masa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.
Zaki berkata, keharmonian begitu terserlah di Sabah sejak sekian lamanya, dengan rakyat pelbagai etnik tidak pernah mempersoalkan, anutan agama masing-masing.
“Kita boleh duduk satu meja, meraikan perayaan bersama dan satu fakta yang jelas di negeri ini, ialah penghormatan ke atas agama masing-masing begitu tinggi,” jelasnya.
Tidak ada sekatan dalam sebuah keluarga di Sabah untuk menganut agama masing-masing, khususnya mereka yang mendirikan rumah tangga.
Naib Ketua Belia Usia itu merayu kepada rakyat di negeri ini, supaya bertenang dan percaya bahawa semua agama menganjur kepada kebaikan.
“Tidak ada agama yang menganjur keburukan kepada pengikutnya, justeru isu yang boleh diselesaikan tidak perlu dijadikan hadangan kepada perpaduan kaum di negeri ini,” tambahnya.
Menjawab satu soalan, Zaki menyeru golongan belia di negeri ini supaya sentiasa proaktif terhadap dasar-dasar kerajaan.
Katanya, sebagai pelapis kepimpinan negara, belia seharusnya bersaing untuk menimba ilmu sebagai bekalan untuk menghadapi masa depan yang semakin mencabar dan mengelak daripada terlibat dalam perkara-perkara yang bukan dalam bidang kuasa mereka.
Beliau turut menasihatkan golongan belia di negeri ini supaya berusaha untuk memperkasakan perpaduan di kalangan mereka.
|