|
|
|
TARIAN (Sasayau/Lumigo) dipersembahkan bagi menyambut ketibaan rombongan dari pihak lelaki.
|
29th November, 2009
PADA tahun 60an adat istiadat perkahwinan suku kaum Murut sangat menarik dan unik serta sangat mencabar terutamanya kepada pengantin lelaki kerana ia terpaksa menyediakan wang ringgit serta benda, kerbau dan lembu untuk persediaan melangsungkan perkahwinan.
Tradisi suku kaum berkenaan di panggil (ULA) “Pengayaan Ra Muloh” atau dalam bahasa Melayunya Penghabisan Baki Berian. Untuk pengetahuan para pembaca, cerita ULA dipaparkan dengan mengikut urutannya.
Pertama, pihak keluarga perempuan menghantar seseorang yang paling arif mengenai “Pengayaan Ra Muloh” untuk memberitahu kepada keluarga si lelaki tujuan kedatangannya. Ketika berjumpa dengan keluarga lelaki, tujuh simpulan rotan dibawa bersama. Dengan adanya persetujuan kedua-dua belah pihak, tujuh simpulan rotan tadi dibuka satu persatu bermula dari pertemuan pertama hinggalah seterusnya iaitu simpulan yang ketujuh.
Apabila hari yang ketujuh, satu rombongan dari pihak lelaki pergi ke rumah pihak perempuan dibawa untuk tujuan melangsaikan baki berian. Kebiasaannya barang-barang yang perlu dibawa pada hari itu ialah (Kerbau-Linampung yang akan dikorbankan dan dimakan bersama, tajau lama, sulou dan lain-lain yang dipersetujui semasa perkahwinan untuk diserahkan kepada mertua) semasa hari “Pengayaan Ra Muloh”.
Apabila sampai ke rumah perempuan, rombongan dari pihak lelaki disambut dengan palunan gong, Tagunggu Pulanu yang menandakan rombongan sudah tiba. Semua pemalu gong adalah orang yang terpilih sahaja yang layak memalu gong iaitu orang yang berjasa.
Paluan gong silih berganti disusuli lagu Tingkara, (Masolok Makara Ru Guang) Tatas Rundung dan Lagu Sinompoton. Semasa gong ini dipalu, tarian Sasayau/Lumigo dipersembahkan oleh penari wanita dan laki-laki bagi menyambut kedatangan rombongan/tetamu.
Sambil menunggu perbincangan dijalankan, tuan rumah menghidangkan sigup kasar sambil beramah mesra di samping meminum minuman keras beras tapai. Minuman tradisi ini adalah wajib dihidangkan pada majlis tersebut. Sambil menikmati hidangan yang disediakan, perbincangan mengenai baki berian (Pansusunuran Pengayaan Ra Mulo) oleh kedua pihak yang disaksikan ketua kampung masing-masing.
Ketua kampung dari kedua-dua belah pihak adalah perantara atau jurucakap kepada mereka. Hasil dari perbincangan oleh kedua-dua ketua kampung yang mewakili dari pihak perempuan dan lelaki, maka penyerahan baki berian dilangsungkan yang disaksikan semua yang hadir pada majlis itu.
Setelah selesai penyerahan baki berian tersebut, maka tetamu akan di pelawa menikmati hidangan yang disediakan. kebiasannya makanan yang dihidangkan pada majlis seumpama ini ialah ketupat (Timbun) daging kerbau yang direbus, jeruk ikan, jeruk daging buruan dan lain-lain.
Pada hari keduanya, keluarga pihak lelaki akan menyediakan kain iaitu salah satu berian/hantaran di satu sudut yang dikhaskan. Beberapa tajau bersaiz kecil dan besar berserta beberapa biji telur yang sudah dimasak untuk dimakan selepas meminum tapai.
Untuk mengenali di antara satu dengan yang lain, satu cara minum tapai di hisap dengan menggunakan buluh kecil (Usuk).
Acara minum tapai akan dihentikan sekiranya kedua-dua pihak berpaus hati atau tidak lagi mampu meneruskan acara tersebut. Minum tapai wajib diadakan, kerana sekiranya acara sedemikian tidak dilakukan majlis tidak meriah dan suasananya sunyi sepi.
Pada hari terakhir iaitu yang ketiga, adalah masa keberangkatan pulang rombongan dari pihak lelaki, tuan rumah sekali lagi menyediakan tiga tajau yang berisi dengan tapai untuk di minum sebagai tanda perpisahan (Pemintaran).
Sebagai penghormatan, tuan rumah mempelawa ketua rombongan memulakan acara minum tapai dan seterusnya disusuli dengan tetamu yang lain sebelum berangkat pulang. Sebagai cendera kenangan, tuan rumah akan menyediakan satu Berait (jenis sikutan) yang diisi dengan beras, jerut ikan dan sebiji tajau yang berisi dihadiahkan kepada keluarga pihak lelaki.
|