Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Konflik manusia-gajah: Peranan m'rakat setempat penting |  Vizione's unit shortlisted to develop Papar Dam in Sabah |  Blockbuster FA Cup final in store |  Sabah football all out to reach new heights |  Malaysia Autoshow Sabah Oct 19-20 to showcase latest vehicles |  UMS, UNICEF to introduce Communication for Development Sabah programme |  1.4 lizong aiso MyKad sundung tu kiumul hobi 12 toun |  Kusai Pakistan tinaan tu au tuminanud kootulan Imigresen |  Mongindapu koonduan suuon sumimban kumaa pongindopuan digital |  Human-elephant conflict in Sabah: Local community plays crucial role in conservation |  SPSB supports Petronas LNG Ltd in third STS operation |  Value of Tabung Haji's domestic equity rises by RM1.12 bln as of Sept |  AIA launches A-Plus MedCare rider |  M'rakat Murut digalakkan terus terap bahasa ibunda |  Raymond Ahuar buat laporan polis | 
 BM

80 wanita hadiri Kursus Pengurusan Jenazah

10th October, 2019

SANDAKAN: Seramai 86 peserta wanita menghadiri Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Biro Agama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sg. Manila, di Masjid Sri Aman Muhibbah Raya Rancangan Sungai Manila di Pekan Muhibbah (Batu 12), baru-baru ini.

Penasihat PIBG SK Sg Manila yang juga Guru Besar sekolah tersebut, Zaini Osman berkata kursus itu yang dikhususkan untuk para wanita telah dibimbing dan dikendalikan sepenuhnya oleh Hajah Syaperia Haji Abd Rahim yang juga Guru Besar Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al-Muraqabah BDC (Batu 1), Sandakan.

Katanya, objektif kursus itu ialah memberi pendedahan kepada para peserta tentang pentingnya ilmu fardu kifayah, selain menambah ilmu pengetahuan dan kefahaman agar dapat lebih bersedia untuk memberikan khidmat terakhir kepada waris atau umat Islam, sejurus kematian ahli keluarga.

Menurutnya, para peserta kursus diberi pendedahan melalui ceramah dari peringkat awal hingga akhir, termasuklah sewaktu jenazah sedang nazak dan sewaktu jenazah telah menghembuskan nafas terakhir.

“Para peserta diberi tunjuk ajar dan bimbingan yang lengkap secara teori dan ‘amali’ dengan menggunakan dua orang peserta yang tampil secara sukarela sebagai ‘model’ jenazah yang diuruskan dari mula hingga akhir,” katanya.

Zaini menjelaskan, program yang bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari itu, bukan sahaja melibatkan aspek pengurusan jenazah semata-mata, malah penceramah juga turut menyentuh soal amalan-amalan bidaah dalam pengurusan jenazah.

“Aktiviti yang turut dijalankan sepanjang program itu ialah ceramah tentang tanda-tanda kematian, adab terhadap orang yang telah meninggal dunia, memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, menyembahyangkan jenazah dan juga mengebumikan jenazah.

“Para peserta turut diberi penekanan terhadap pengetahuan dan kemahiran dari aspek praktikal (amali) tentang penyediaan peralatan serta urusan mengkafankan jenazah,” jelasnya.

Dalam kursus tersebut, pihak PIBG SK Sg Manila diketuai oleh Ustazah Rosmah Abdul Rahman manakala peserta kursus terdiri daripada para ahli PIBG yang kebanyakannya kaum ibu dan juga penduduk muslimah berhampiran Pekan Muhibbah, di Rancangan Sg Manila, Sandakan.

Zaini menambah, kursus berkenaan dianjurkan ekoran wujudnya keperluan dan permintaan yang tinggi kerana kursus pengurusan jenazah yang dikhususkan untuk kaum wanita agak jarang dianjurkan.

Justeru katanya, pihak PIBG SK Sg Manila melalui Biro Agama PIBG mengambil inisiatif menganjurkan kursus tersebut yang ternyata mendapat sambutan yang amat membanggakan dalam kalangan masyarakat di sekitar Rancangan Sg Manila (Pekan Muhibbah), khasnya para peserta kursus.

Majlis perasmian kursus itu disempurnakan oleh Imam Khariah Masjid Sri Aman Muhibbah Raya Rancangan Sg Manila, Imam Haji Noordin Ali Ahmad.-OLEH SALMAN ABADI

   
Email Print
   
 
 
E-browse