Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Dabra Sia magangat tambalut artis mamalan ababayan kotundunan |  Sabah mangatag kategori lahan kotombuhuzan habus kakadazan tuidongon |  Lelaki warga asing ditahan, dadah dirampas |  Wisma Kastam Labuan berwajah baharu |  Program Libat Urus Terbuka harus dimanfaat: Ab Rashid |  Foreigner with crystal meth nabbed |  ‘Sabah’s diverse society remains a vital ingredient’ |  FCAS ready to build Wisma Zhong Hua if there is land |  Outstation express bus services kick off operations at KK Sentral |  To dam or not to dam |  SM Lok Yuk shuttlers rule |  108 extreme athletes participate in tournament |  Labuan fans treated to MMA action |  Open opportunity to discuss tennis development |  Non-performing loans to rise 98 pct | 
 BM

3,000 penduduk Piasau KB, bakal nikmati bekalan air dari sumber bawah tanah

19th June, 2019

KOTA KINABALU: Kira-kira 3,000 penduduk Kampung Piasau Kota Belud bakal mendapat bekalan air alternatif melalui pembinaan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) di kampung itu yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah.

Majlis perasmian telaga dan sistem penapisan itu dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, pada 22 Jun ini, bermula jam 8 pagi, di Dewan Kampung Piasau Kota Belud.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Sabah, Mohd Yusop Ramli berkata, telaga itu dibina pada September tahun lalu manakala sistem penapisan SPATR siap sepenuhnya pada Mac 2019, dengan anggaran kos RM60,000. Kos ini termasuk kos kajian potensi sumber air tanah, pembinaan telaga dan pemasangan sistem penapisan SPATR.

“Pada tahun lalu, selain di Kota Belud, JMG Sabah juga telah melaksanakan dan menyiapkan projek seumpama ini di Kg. Pompodon, Kota Marudu.

“Usaha untuk membantu penduduk luar bandar menyediakan bekalan air bersih akan diteruskan dan tahun ini, JMG Sabah telah mengenalpasti beberapa lokasi di daerah Pitas, Ranau, Kota Marudu dan Kota Belud.

“Kita mendapat banyak permohonan untuk membina telaga tiub tetapi memandangkan kos untuk eksplorasi dan pembangunan air bawah tanah yang agak tinggi maka hanya kawasan yang benar-benar memerlukan serta dikenalpasti mempunyai potensi air bawah tanah akan diberikan keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, kelmarin.

Mohd Yusop berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), JMG Sabah telah dan sedang menjalankan beberapa projek berkaitan sumber Air Bawah Tanah, antaranya Projek Penilaian Rezab Air Tanah di Lembangan Kedamaian (Kota Belud), Projek Pembangunan Sumber Air Tanah di Kawasan Bermasalah Bekalan Air Bersih di beberapa daerah serta Projek Penggunaan Air Tanah Sebagai Sumber Air di Loji-loji Rawatan Air yang menghadapi kekurangan sumber air.

Selain itu, katanya, jabatan juga terlibat dalam Program Pembangunan Water Balance bagi Pengurusan Sumber Air Negara bersama Jabatan Pengairan dan Saliran dan Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut di daerah Beaufort dan Kuala Penyu bersama Jabatan Alam sekitar.

“Projek Pembangunan Sumber Air Tanah di Kawasan Bermasalah Bekalan Air Bersih merupakan antara usaha kerajaan membantu penduduk kawasan pedalaman mendapatkan bekalan air bersih terutamanya di kawasan yang tidak mempunyai liputan air paip dari Jabatan Air atau tekanan air paip yang rendah.

“Projek ini melibatkan pembinaan telaga tiub atau telaga gali di kawasan-kawasan yang mempunyai potensi air bawah tanah. Selain itu, sistem penapisan SPATR juga akan dibina bagi membekalkan air bersih kepada penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu Ketua Bahagian Hidrogeologi, Jaineh Lingi berkata, JMG merupakan jabatan yang bertanggungjawab berkaitan sumber air bawah tanah.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Bahagian Hidrogeologi JMG Sabah, antara lokasi yang mempunyai sumber air bawah tanah yang banyak ialah di sekitar Bandar Sandakan, beberapa kawasan tertentu di Semporna, Tawau, Lahad Datu (kawasan Sahabat), Beaufort, Papar, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu dan Labuan. Manakala, kajian sumber air bawah tanah di beberapa tempat di Kudat, Bahagian Utara Pitas, sebahagian besar kawasan Sandakan, Lahad Datu, Nabawan mendapati kurang potensi sumber air bawah tanah.

“Bagi menentukan potensi dan kehadiran air bawah tanah, kajian awal pemetaan geologi di lapangan serta siasatan menggunakan beberapa jenis kaedah geofizik perlu dijalankan.

“Air bawah tanah sangat bergantung kepada keadaan geologi dan litologi batuan di sesuatu tempat, oleh itu penentuan lokasi pembinaan telaga tiub memerlukan khidmat nasihat daripada pakar hidrogeologi bagi memastikan lokasi tersebut benar-benar mempunyai potensi serta sumber air bawah tanah yang mampan,” katanya.

Beliau berkata, sejak RMKe-6, pihak JMG Sabah telah menjalankan kajian berkenaan potensi serta membangunkan sumber air bawah tanah di beberapa daerah untuk kegunaan penduduk sekitar.

“Selain telaga tiub yang dibina sendiri oleh JMG, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan juga mengambil inisiatif untuk membina telaga tiub bagi kegunaan penduduk dan pelajar sekolah di Sabah di samping orang perseorangan dan syarikat swasta,” katanya.

Sempena majlis perasmian ini, ceramah kesedaran awam mengenai sumber air tanah, geologi warisan, gempa bumi dan tanah runtuh turut diberikan bermula jam 8 pagi. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan majlis ini.

   
Email Print
   
 
 
E-browse