Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
57 never before published Dusun folk tales added to State Library |  Labuan Chimney Walking Trail kopongimbayat tutumombului |  JBA Labuan nokotoimo sakadai RM140.2 lizong |  RM217 lizong gunoon ponoodo projik kotundaan id Ranau |  Polis tahan dua lelaki tempatan, rampas dua laras senapang angin |  PGA akan dilengkapi Unit Tiger Platoon |  Program Career & Education Fair dedah rancang kerjaya |  Masalah rumah tidak terjual di Sabah tidak serius |  Michelin welcomes first flagship store for premium performance-oriented tyres |  Fabio to add more punch for Interior |  Police arrest two men, seize homemade airgun |  Marine police nab 24 illegals, thwarts fish bombing |  Tour boat drivers tested positive for meth |  New Grouper catches Chief Minister’s attention |  Ministry to tackle overhang property issue | 
 BM

Projek bina Empangan Papar dijangka mula tahun depan

25th March, 2019

PENAMPANG: Projek pembinaan Empangan Papar dijangka dimulakan selewat-lewatnya pada awal tahun depan selepas kerja-kerja awalan termasuk penyediaan reka bentuk dan teknikal yang sedang dilaksanakan ketika ini disiapkan dalam tempoh enam bulan, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.

Peter berkata kementeriannya juga sedang menunggu laporan keseluruhan daripada jabatan dan agensi berkaitan alam sekitar sebelum kerja-kerja pembinaan empangan itu dilaksanakan.

Menurutnya, pembinaan Empangan Papar perlu dipercepatkan bagi memastikan keperluan bekalan air bersih mencukupi ke kawasan Pantai Barat termasuk Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Inanam dan Tuaran memandangkan bekalan air di kawasan berkenaan semakin berkurangan.

“Kementerian telah mengarahkan pelaksanaan Empangan Papar dilakukan dengan segera kerana meskipun ada Empangan Babagon dan beberapa loji air di sekitar Tuaran dan Beaufort, namun, bekalan air masih belum mencukupi.

Jika pembinaan Empangan Papar tidak dilakukan (dikhuatiri) masalah kekurangan bekalan air akan terus berlarutan, apatah lagi penduduk semakin bertambah di Kota Kinabalu dan kawasan sekitar,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta larian Sambutan Hari Air Sedunia 2019 peringkat Sabah di sini, kelmarin.

Mengenai pembinaan empangan di Ulu Padas, Beaufort, Peter berkata, kementeriannya akan berusaha memastikan pembinaan empangan itu akan dipercepatkan kerana ia bukan sahaja membekalkan air tetapi juga menjana tenaga elektrik untuk keperluan penduduk di Tenom, Sipitang dan Beaufort.

Sementara itu, Peter berkata Kementeriannya juga sedang dalam perancangan untuk mewujudkan kawasan penyimpanan air di setiap daerah di negeri ini sebagai kaedah baharu bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air semasa musim kemarau.

Beliau berkata konsep kawasan penyimpanan air yang sedang direka bentuk itu boleh mampu menampung keperluan air untuk jangka masa tiga hingga empat bulan.

“Kaedah membekalkan air menerusi kawasan penyimpanan air ini tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ini adalah kaedah baharu dan pendekatan jangka panjang bagi menghadapi musim cuaca panas dan kekurangan hujan yang pada kebiasaanya berlaku pada Januari hingga April.

“Kawasan penyimpanan air itu akan (menyedut) air sungai untuk disimpan bagi menghadapi musim kemarau,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai penggunaan air laut sebagai alternatif mengatasi masalah air di Sabah, Peter berpendapat kaedah berkenaan kurang sesuai dilaksanakan memandangkan Sabah masih mempunyai sumber air daripada sungai dan tasik selain kos pemprosesan air laut agak mahal.

Namun, Peter tidak menolak kemungkinan kaedah itu akan digunakan sekiranya bekalan air daripada sungai dan tasik di Sabah semakin berkurangan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Peter berkata, sebanyak enam daripada 14 loji air di Sabah berada pada tahap kritikal berikutan bacaan paras air di loji berkenaan semakin berkurangan akibat cuaca panas dan kekurangan hujan melanda negeri itu ketika ini.

Keenam-enam loji terbabit terletak di beberapa kawasan di Tawau dan Semporna, katanya.

Bagaimanapun, Peter berkata, bacaan paras air di loji terbabit masih terkawal dan pihaknya akan mengambil beberapa alternatif termasuk menghantar bekalan air ke kawasan terjejas dan melakukan pembenihan awan sekiranya cuaca panas dan kurang hujan masih berlarutan.

“Tetapi, buat masa ini, pembenihan awan belum diperlukan memandangkan ada hujan turun dalam beberapa hari ini,” katanya.

   
Email Print
   
 
 
E-browse