|
|
|
BERUCAP ... Dr. Kamaruzaman ketika berucap pada majlis itu.
|
3rd July, 2009
KOTA KINABALU: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon ber-kata, perpaduan di kalangan mahasiswa dan siswi universitI itu amat penting bagi menjayakan konsep ‘Satu Malay-sia’ seperti yang diilhamkan Perdana Menteri.
Beliau berkata, ini kerana para pelajar UMS yang datang dari pelbagai budaya, bangsa dan latarbelakang mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar untuk menjayakan konsep itu.
Di samping itu katanya, perpaduan yang erat dan mantap juga merupakan kunci kejayaan pelajar seterusnya akan memudahkan mereka menjalani kehidupan sebagai mahasiswa dan siswi UMS.
“Para pelajar UMS adalah harapan dan sandaran bangsa dan negara di masa hadapan. Oleh itu, anda perlu sentiasa fokus kepada matlamat sebenar selama berada di sini.
“Jadilah mahasiswa mahasiswi yang tinggi ilmu, mantap sahsiah dan luhur budi pekertinya. Di universiti, anda bukan sahaja menjadi penuntut malah akan dilatih menjadi seorang pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ikrar dan Aku Janji Mahasiswa siswi baru UMS, di Dewan Canselor, universiti itu, di sini, kelmarin.
Dr. Kamaruzaman berkata, dengan pertambahan bilangan penuntut baru seramai lebih kurang 4,150 orang, UMS pada semester ini mempunyai lebih 17,000 orang penuntut yang sedang mengikuti pengajian dalam 64 program yang dita-warkan.
Berkenaan dengan kerisauan ibu bapa mengenai keselamatan dan keselesaan anak-anak mereka sama ada di kolej-kolej kediaman atau di bilik kuliah, beliau berkata, pihak UMS akan sentiasa memastikan keselamatan para pelajarnya.
“Ini merupakan satu harapan yang besar yang diletakkan oleh ibu bapa anda semua kepada kami. Pastinya, harapan itu sentiasa kami galas dengan cekap dan bertanggungjawab. Namun sebagai siswa siswi yang matang, anda semua dituntut untuk sama-sama memeliharanya.
“Bak kata pepatah “malang tidak berbau”, oleh itu sentiasalah berhati-hati dan berwaspada walau di mana pun anda berada. Di samping sentiasa menggunakan pendekatan yang mesra lagi prihatin di antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata, UMS kini setanding dengan universiti terkemuka di luar negara dan dilengkapi kemudahan yang serba lengkap serta pensyarah yang berkaliber.
“Oleh itu saya menyeru kepada semua mahasiswa dan mahasiswi UMS supaya terus berusaha mencapai kejayaan seterusnya mempertahankan kegemilangan universiti ini,” katanya.
|