21st March, 2019
KOTA KINABALU: Kementerian Kewangan Negeri Sabah menetapkan 95 kuota surat kebenaran untuk aktiviti perniagaan tukar barangan (barter trade) di daerah Sandakan, Tawau dan Kudat.
Pembantu Menteri Kewangan negeri Saripuddin Hatta berkata kuota tersebut masih belum dipenuhi iaitu 35 kuota masing-masing untuk daerah Sandakan dan Tawau, manakala 25 kuota untuk Kudat.
Katanya sehingga hari ini (kelmarin) , hanya 53 permohonan diterima daripada pemohon yang berminat dan permohonan masih lagi dibuka sejak 1 Jan lepas.
Menurutnya bermula 1 April depan, untuk memudahkan pemohon, mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan secara percuma dengan memuat turun dari laman sesawang Kementerian Kewangan Negeri Sabah (www.mof.sabah.gov.my).
“Bayaran yuran pemprosesan sebanyak RM1,500 akan dikenakan kepada pemohon yang mengemukakan borang ke Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan perlu melengkapkan borang termasuk mendapat pengesahan mengenai kedudukan kuota dan status kapal pengangkut daripada Jabatan Laut Malaysia.
“Sekiranya prosedur itu tidak dipatuhi, maka bayaran secara ‘online’ (dalam talian) adalah tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media di sini, kelmarin.
Saripuddin berkata sebaik sahaja kementeriannya dan tujuh agensi terlibat memulakan proses semakan, yuran pemprosesan tidak dikembalikan walaupun pemohon gagal memperoleh surat kebenaran.
Katanya tujuh agensi terlibat ialah Polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Jabatan Laut dan Jabatan Imigresen.
Beliau berkata bagi pemohon yang berjaya mendapat kelulusan, tempoh kebenaran yang diberikan adalah selama setahun bermula dari tarikh surat kebenaran dikeluarkan.
Menurutnya aktiviti perniagaan tukar barangan itu sepatutnya bermula bulan ini tetapi mengalami kelewatan yang disebabkan kekeliruan di pihak pemohon mengenai prosedur baharu.
Saripuddin berkata aktiviti perniagaan tukar barangan adalah penting untuk menjana ekonomi di tiga daerah tersebut tetapi kerajaan negeri berhati-hati dalam mengeluarkan surat kebenaran atas faktor isu keselamatan negeri dan penduduk serta kedaulatan negara diutamakan.
|