7th March, 2019
BELURAN: Persatuan Bajau Alaf Baru Labuk dan Sugut yang diketuai oleh Yang Dipertua Penajanya, Yusop Latip Haji Namros meneruskan aktiviti jelajah ke Kampung Kolapis, dekat sini, kelmarin untuk memperkenalkan persatuan tersebut sekaligus memberi pencerahan tentang matlamat dan hala tuju persatuan.
Dalam ucapannya pada program jelajah berkenaan beliau menggalakkan masyarakat suku kaum Bajau khususnya para belia di daerah Beluran supaya memanfaatkan penubuhan Persatuan Bajau Alaf Baru Labuk dan Sugut kerana ia akan berusaha membantu menjaga kepentingan mereka meliputi semua aspek.
Beliau berkata, salah satu matlamat perjuangan persatuan adalah ingin memastikan suku kaum Bajau terutamanya di kawasan Beluran selangkah maju ke hadapan seiring dengan suku-suku yang ada di negeri ini.
Katanya, pihak persatuan mahu masyarakat suku kaum Bajau di daerah berkenaan tampil menjadi ahli memandangkan banyak program yang sudah pun disusun atur sepanjang tahun termasuk memperbanyakkan aktiviti ekonomi.
“Persatuan yang baharu kita bentuk ini akan menjadi landasan untuk kita mengorak langkah ke hadapan sekaligus dapat berdaya saing sesuai dengan kemajuan dan peredaran zaman pada hari ini.
”Banyak program mahu pun aktiviti yang kita rancang bagi memberikan manfaat kepada masyarakat Bajau Labuk dan Sugut di mana kita akan berusaha untuk membantu dari segi kebajikan atau apa saja,” jelasnya.
Hadir sama Ketua Kampung Kolapis, Abdullah Tan Tua dan Ketua Kampung Keniogan, Haji Hairil Hj Ismail serta barisan kepimpinan AJK Persatuan termasuklah Pengerusi Penganjur Program Jelajah berkenaan Rahim Diar dan Pengerusi USBO Beluran, Abdul Rahman Kangkung.
Mengulas lanjut, Yusop Latip mengatakan bahawa dengan adanya jelajah ini bukan saja memberikan peluang untuk persatuan tampil membantu tetapi juga kesempatan untuk semua jawatankuasa mengukuhkan ikatan muhibbah sekaligus mengenal pasti permasalahan rakyat akar umbi terutama yang jauh di pedalaman.
Beliau mahu belia dan beliawanis supaya mendaftar menjadi ahli persatuan kerana pihaknya merancang pelbagai aktiviti antaranya menumpukan usaha yang boleh membantu meningkatkan ekonomi ahli-ahli.-OLEH ROZZALIN HASHIM
|