Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
SAPP wants public clarification on new electoral boundaries date |  Champs rest key players for final League match |  Man contracts JE disease in Sabah |  Unlock Art: Le Meridien chooses UCSF to celebrate Sabah’s unique cultures |  Koumohigan ahal di tavagat id Sabah, mositi intangan kozo |  Kusai, 21, noohian toluo JE id Sabah |  AirAsia to pay RM40.73 mln to MA Sepang |  AirAsia seeks partnerships, not rivalry – Tony Fernandes |  FPSK UMS serah semula Blok Klinikal HQE |  'Sanzac Fun Run' rai sambutan jubli emas SMK Sanzac |  Snek pisang Hafiszuddin semakin berkembang di Sabah |  APMM serius tangani pencerobohan bot nelayan asing masuk perairan Sabah |  Wanita miliki produk tidak berdaftar KKM didenda RM5,000 |  Suami isteri dihadap ke mahkamah tuduhan tipu lelaki |  Tiga lelaki mengaku tidak bersalah tuduhan merogol | 
 BM

Bengkel Penjajaran Konstruktif tingkat kaedah penyampaian pengajaran para pensyarah

11th February, 2019

OLEH NOOR ZAFIRA SHAFIE

KOTA KINABALU: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel Penjajaran Konstruktif bagi memantapkan serta meningkatkan lagi kaedah dan kualiti penyampaian pengajaran para pensyarah.

Pengerusi pelaksana Bengkel, Dr. Junainah Jaidi berkata, ia termasuk kaedah penyampaian di dewan kuliah, bilik tutorial serta pembelajaran menerusi sistem pembelajaran teradun atas talian (online blended learning).

“Ini merupakan usaha untuk meneruskan dan kita menyahut seruan terhadap inisiatif UMS dalam memperkasakan hasil pembelajaran yang menitikberatkan Outcome Based Education (OBE).

“Dalam masa yang sama, ia menyemarakkan lagi usaha UMS untuk sentiasa seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia, yang baru-baru ini dalam amanat menterinya Dr. Maszlee Malik menyatakan bahawa universiti perlu bertindak sebagai hub untuk penerapan nilai yang mudah difahami dan mudah sebati ke dalam diri pelajar,” katanya ketika hadir semasa bengkel itu berlangsung Sabtu lalu.

OBE merupakan kaedah pembelajaran dan pengajaran berpusatkan pelajar yang kini mula digunapakai secara meluas untuk menggantikan kaedah pengajian tradisional bagi tujuan meningkatkan keberkesanan hasil pembelajaran yang akan diukur berasaskan pengetahuan dan kemampuan pelajar.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPEP turut menegaskan bahawa penjajaran konstruktif tersebut dilaksanakan bagi membolehkan para pensyarah dari setiap program dapat merancang bersama dengan lebih terperinci pembelajaran yang ingin dihasilkan agar ia saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Katanya, ia akhirnya akan menghasilkan pelajar yang dapat menguasai lebih banyak ilmu sekali gus dapat meningkatkan nilai kebolehpasaran apabila bergraduasi kelak.

“Kita mahu graduan yang dihasilkan menepati keperluan industri sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan graduan yang terbukti bersedia memenuhi kehendak majikan.

“Apabila mereka bergraduat kelak mereka tahu kualiti yang mereka ada dan mereka berani untuk “menawarkan” diri kepada para majikan di luar sana,” tambah Junainah.

Sementara itu, salah seorang pakar rujuk bidang penjajaran konstruktif dan OBE UMS, Sharifah Milda Amirul memaklumkan penganjuran bengkel itu amat bertepatan bagi membolehkan para pensyarah akan lebih memahami dan meningkatkan kualiti hasil pembelajaran dalam mereka bentuk kursus atau kurikulum yang dikendalikan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan wujud kesukaran untuk mengadaptasi kaedah pengajaran ini dalam kalangan pensyarah senior, beliau yang juga Pensyarah Program Perakaunan FPEP berpandangan bahawa ia tidak akan berlaku.

“Ini adalah kerana pensyarah senior lebih berpengalaman dan lebih arif mengenai nilai yang perlu disampaikan dalam pengajaran.

“Pensyarah senior adalah sumber inspirasi kepada saya selaku pensyarah muda, cuma mungkin disebabkan oleh kaedah yang baharu ini menggunakan aplikasi teknologi sepenuhnya, maka ia membentuk cabaran kepada pemakaian kaedah ini,” jelasnya.

Dalam pada itu Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dalam ucapan perasmian turut menyatakan bahawa penganjuran bengkel itu sebagai satu manifestasi kepada usaha menjayakan kajian semula kurikulum baharu UMS yang menekankan aspek kandungan pembelajaran, kaedah penyampaian dan kesediaan infrastruktur moden.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah atas komitmen yang ditunjukkan oleh para pensyarah yang untuk hadir ke bengkel ini biarpun ia diadakan pada hujung minggu.

“Semangat dan keghairahan (passion) seperti ini sudah pasti akan membolehkan UMS untuk terus kekal relevan sebagai Universiti awam yang berdaya saing di pentas global,” katanya.

   
Email Print
   
 
 
E-browse