7th December, 2018
Oleh: NOOR ZAFIRA SHAFIE
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan mempertimbangkan kemungkinan bagi memasukkan penanaman lada hitam sebagai Program Aktiviti Ekonomi Tambahan di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Kampung-Kampung Sejahtera.
Menterinya Datuk Ewon Benedick yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Lada Malaysia berkata usaha tersebut adalah untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar secara sustainable disamping menikmati peningkatan kualiti hidup golongan sasar.
“Saya menyokong inisiatif yang diambil oleh pihak Persatuan Penanam Lada Hitam Sabah (PLAS) untuk memperkasakan industri hiliran bagi mengeluarkan produk berasaskan lada hitam,” katanya.
Perkara itu kami bincangkan semasa kunjungan hormat PLAS yang diketuai oleh Presiden, Dennison Indang, di pejabat menteri, di sini, kelmarin.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan memaklumkan isu-isu, cabaran-cabaran dan syor-syor daripada komuniti penanam dan pengusaha lada hitam Sabah kepada perhatian Kerajaan.
Dalam kunjungan hormat ini, Ewon turut menyampaikan sumbangan peruntukan touchpoints Menteri sebanyak RM10,000 sebagai sokongan kepada usaha-usaha persatuan memperluaskan penanaman ini di Sabah.
Beliau juga bersetuju dengan cadangan mewujudkan aktiviti keusahawanan desa di bawah KPLB bermula pada tahun hadapan.
Kunjungan itu disertai Timbalan Presiden PLAS Reggi Walter, Zita Bolingkong (Setiausaha), Benjamin Yanggau (Timbalan Setiausaha), Janus Tioon dan Deni Rining.
Sementara itu Janus yang juga Pengerusi PLAS Cawangan Kota Belud berkata antara cadangan Mesej Mikro Tanaman Lada Hitam ialah pembangunan tanah peserta secara berkelompok seluas 30 ekar (minima) dengan bilangan peserta 15 orang dengan setiap peserta mengusahakan kebun lada hitam seluas dua ekar atau anggaran 1,000 pokok.
Beliau berkata pembangunan kawasan penempatan seluas 10 ekar meliputi rumah peserta, kemudahan asas dan ameniti sosial, mini kilang pemprosesan lada hitam dan kegiatan ekonomi sampingan.
“Antara kawasan-kawasan cadangan PLAS untuk penanaman lada hitam ialah di Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Ranau, Tambunan dan Penampang,” katanya.
|