Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
20 foreign owned tour companies operating in Sabah |  SESB for takeover? |  Team Malaysia dominate ladies golf tournament |  Three Sabahans for national trials |  Sabah Eagles take cautious approach in title challenge |  Bigger Christmas celebration this year |  Kumoduvo polosiden UPKO nopihi Puu Dewan Pogun |  Isuzu Malaysia treats loyal customers in gala night |  Hilton to introduce new brands |  Timber export value to decline |  103 pelajar UMS sertai Aktiviti Ekonomi dan Pola Guna tanah pinggir pantai anjuran FKSW |  Sizam pongkimamaan popoinsavat tangangazan kalaja polinta |  Fatahanne dinobatkan 'New Star malaysia' melalui pertandingan NKTS |  DBP galak pembangunan sastera melalui pengiktirafan |  Nahas jalan: Lelaki patah paha, kaki kanan akibat tersepit dalam kenderaan | 
 BM

Guru julang Malaysia di persada antarabangsa

7th September, 2018

KOTA KINABALU: Mencipta nama bukan untuk diri sendiri tetapi demi profesion, bangsa dan negara.

Atas dasar itu, guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek, 30, tidak lelah malah terus berusaha demi meraih kemenangan dalam pelbagai pertandingan dan anugerah pendidikan termasuk di peringkat global. Kolej itu terletak kira-kira 105 kilometer dari sini.

Nama beliau bukanlah asing terutamanya dalam dunia pendidikan kerana telah berkali-kali menjulang dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Pencapaian terbaharu beliau adalah memenangi pingat emas kategori ‘Think Tales’ dalam World Invention Innovation Contest (WIC) di Convention Centre – Chungmu Art Centre, Seoul, Korea Selatan, pada Jun baru-baru ini.

Beliau bersama-sama dua guru lain dan beberapa pelajar kolej itu yang mewakili Malaysia berjaya merangkul empat pingat emas, dengan mengalahkan peserta dari sembilan negara lain iaitu Amerika Syarikat, Filipina, Mesir, Sri Lanka, Taiwan, India, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Terdahulu, Mohd Sirhajwan juga menerima anugerah Community Award for Citizenship daripada sebuah pertubuhan antarabangsa – Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards – di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu pada Mac atas sumbangannya kepada komuniti pendidikan.

Beliau juga pernah meraih tempat naib johan bagi Innovation in Teaching of Research Methodology Excellence Award (Rome, 2018), pemenang global Express Publishing International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) Scholarship (Brighton UK, 2018), juara dunia pertandingan Innovation and Entrepreneurship Excellence in Teaching Award (Paris, 2017) dan memenangi global Macmillan Teachers at My Heart (Norwich UK, 2016).

Selain itu, beliau pernah tersenarai sebagai peserta akhir bagi beberapa pertandingan antarabangsa ‘Global Teacher Prize 2017’, ‘GESS Outstanding Contribution in Education Award 2018’, ‘Bett Asia Collaboration Award 2017’, ‘Commonwealth Class Story Writing Teacher Category 2016’ dan ‘SEAMEO Australia Education Link Award 2015’.

Lulusan Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), beliau berhasrat membuktikan kepada umum bahawa profesion perguruan mampu menempah nama di peringkat global setanding bidang lain.

“Contohnya dalam bidang sukan, sekiranya atlet mampu mengharumkan nama negara dengan pingat yang dimenangi maka guru-guru dan kalangan pelajar juga mampu berbuat seumpama itu melalui pelbagai pencapaian berkaitan.

“Kesemua kejayaan dan pencapaian itu adalah sumbangan untuk negara yang kita sayangi, Malaysia,” kata beliau pada Bernama.

Beliau berkata sebagai duta kecil Malaysia ke pertandingan-pertandingan berkaitan pendidikan di peringkat antarabangsa, beliau sering berkongsi banyak maklumat mengenai Malaysia dengan masyarakat dunia.

“Selain ingin memaparkan kemampuan dan pencapaian sektor pendidikan di Malaysia, saya juga menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara yang gigih untuk maju serta mampu bersaing di peringkat global.

“Saya juga mahu dunia tahu tentang keindahan masyarakat berbilang kaum yang kaya dengan tradisi di Malaysia,” tambah beliau.

Mohd Sirhajwan yang juga penerima Ikon Guru peringkat kebangsaan, negeri Sabah dan daerah Keningau pada 2017 berkata beliau sentiasa yakin dan mempunyai kesungguhan untuk berjaya hingga ke tahap antarabangsa.

Beliau berhasrat membantu memberi keyakinan dan motivasi kepada rakyat Malaysia, terutama generasi muda, bahawa mereka boleh mencapai kejayaan sekiranya ada kemahuan dan keazaman jitu untuk mencapai sesuatu.

“Saya ingin membuktikan bahawa tidak kira siapa diri anda dan dari mana asalnya, tiada yang dapat menghalang anda daripada mencapai cita-cita biarpun di peringkat global.

“Saya mendapat pendidikan dalam negara dan bekerja di kawasan pedalaman iaitu Keningau. Namun, saya mampu memenangi beberapa pertandingan antarabangsa dengan menewaskan peserta-peserta negara lain termasuk dari negara maju,” tambah beliau yang berketurunan Bajau dan merupakan anak kelahiran Kampung Taun Gusi, Kota Belud, kira-kira 17 kilomenter dari sini.

Tidak pernah jemu mencari ilmu, beliau menegaskan ilmu sangat penting untuk memajukan diri selain membantu orang lain untuk maju.

Mohd Sirhajwan berkata bahawa kejayaannnya itu sukar direalisasi tanpa keamanan dan kemakmuran yang dikecapi rakyat negara ini.

“Sangat penting bagi rakyat Malaysia untuk mencintai keamanan negara bagi memastikan kehidupan kita sentiasa harmoni dan positif di peringkat negara, komuniti serta individu.

“Ini akan menjadi agak mustahil sekiranya rakyat tidak saling menyanyangi dan menghormati. Selain itu, cinta kepada negara, komuniti dan asal usul kita merupakan dorongan hebat bagi kita dalam memberikan yang terbaik,” tegas beliau sambil menambah bahawa beliau ingin menjadi kebanggaan Malaysia, terutamanya Sabah.-Bernama

   
Email Print
   
 
 
E-browse