Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Sepanggar eyeing unique double |  Haze: Slight increase in treatment of Sabah patients |  Another biker killed while overtaking |  Chief Minister launches annual Foh Sang Mooncake celebrations |  Sambutan Hari Ozon Sedunia tingkat kesedaran pemuliharaan alam sekitar, kata Rozman |  Preserving the environment by teaching children to love it |  SICC to be ready in December |  Kopotundaan id watas Parlimen Pensiangan onuan koposuulan |  Molohing kiguno manapad pomogunaan kakamot elektronik do tanak |  Program One Stop Help Center (KAWAN) mudahkan rakyat: Rozman |  52 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah di KK |  Buruh terbunuh motosikal bertembung pacuan empat roda |  Kerajaan akan ambil perhatian masalah penduduk, kata Peter |  Kerajaan perlu bantu golongan profesional muda: Razali |  Jerebu beransur pulih Okt ini: Issnaraissah | 
 BM

Mahadzir Lokman meninggal dunia di Sabah

4th August, 2018

KOTA KINABALU:Bekas personaliti TV Datuk Mahadzir Lokman, 61, disahkan meninggal dunia di sebuah hotel dekat sini kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Habibi Majinji berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 11 pagi. Habibi ketika dihubungi Bernama berkata mangsa mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada 31 Julai lalu atas urusan kerja sebelum disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), pagi kelmarin.

“Tidak terdapat unsur-unsur jenayah dan mangsa berkemungkinan mati disebabkan sakit yang dialaminya sebelum ini. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya.

Sementara itu, kira-kira jam 1.55 tengah hari, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri Datin Seri Shuryani Shuaib tiba di perkarangan Jabatan Forensik HQE1 dipercayai menziarahi jenazah allahyarham. Mohd Shafie meluangkan masa kira-kira 15 minit sebelum beredar meninggalkan hospital.

Sementara itu, Shangri-La Tanjung Aru Resort and Spa dalam satu kenyataan berkata pihaknya menyedari kejadian itu kira-kira 10 pagi tadi sebelum menghubungi pihak hospital.

“Pengurusan dan kakitangan di sini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan kami akan melakukan semua yang perlu untuk membantu keluarga Allahyarham.

“Kami juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Pemergian bekas personaliti TV3 dan ikon pengacaraan, ini disifatkan satu kehilangan besar bagi industri penyiaran negara.

Berita pemergian Allahyarham yang mesra dengan panggilan ‘Dato Dale’, mengejutkan ramai pihak termasuklah rakan rapat dan artis tempatan yang kebanyakannya berkongsi kenangan bersama arwah menerusi pelbagai cerita dan catatan.

Rakan Allahyarham, Farel Gafar, 31, ketika dihubungi Bernama mengakui terkejut dan sedih dengan berita kembalinya ke Rahmatullah personaliti televisyen itu yang disifatkan sebagai seorang yang cukup baik.

“Kali terakhir saya bertemu arwah sebelum beliau ke Sabah. Apa yang saya perasan, sejak akhir-akhir ini Mahadzir kerap meluangkan masa dengan kawan-kawan rapat di rumahnya,” katanya.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut berkongsi berita sedih itu di Instagramnya (@ctdk) dengan memuat naik gambar Allahyarham.

“Salam Takziah & Al Fatihah. Banyak kenangan bersama arwah, salah satunya arwah menjadi host di Konsert Royal Albert Hall London. Arwah seorang yang suka memberi ilmu serta baik hati. Semoga di sisi insan beriman di sana…amin,” katanya.

Pelakon, Maya Karin menerusi Twitternya (@maya_karin) menulis :”Al-Fatihah Datuk Mahadzir Lokman. He was kind to me when I was 17 and slightly scared of my first theatre main role in Malaysia,”

(Al-Fatihah Datuk Mahadzir Lokman. Beliau agak baik dengan saya semasa saya baru 17 tahun dan sedikit gementar pertama kali melakonkan watak utama dalam pentas teater di Malaysia)

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes turut berkongsi status di Twitternya (@tonyfernandes) berkata: “A man who I grew up. From music to airlines his voice was always there. A good man who was always positive and always sincere. I will miss him. RIP,”.

(Seorang yang rapat dengan saya. Daripada muzik ke syarikat penerbangan, suaranya sentiasa ke udara. Seorang insan yang baik dan sentiasa positif serta ikhlas. Saya akan merasai kehilangannya. RIP)

Allahyarham Mahadzir disahkan meninggal dunia kira-kira 9.30 pagi tadi di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah yang dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan yang dihidapinya.

Tahun lepas Mahadzir pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.

Mahadzir memulakan kerjayanya sebagai penyampai berita bahasa Malaysia dan Inggeris pertama di stesen TV3, pada tahun 1984.

Beliau pernah menjadi pengacara pertama bagi beberapa program televisyen terbitan stesen itu, antaranya Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Melodi.

Allahyarham kerap diundang sebagai pengacara dalam pelbagai acara bertaraf antarabangsa kerana kefasihannya bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol dan Itali.-Bernama

   
Email Print
   
 
 
E-browse