Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Biggest ever Sabah contingent for Sukma |  Straight fight for Safa presidency |  Man sought for spearing wife |  Wildlife unit’s swift actions save jumbo |  Man tries political ties to get druggie sons off |  Stand-up comedian Harith Iskander to perform at SHAREDA Nite |  Bangkok-KK route will boost state's tourism |  KPJ Healthcare records RM44.6 mln Q2 net profit |  CIDB urges industry to adopt QLASSIC |  Polinta moguhud misokodung miampai Indonesia monoodo talun-alun tagazo |  Komulakan kusai natagak nokito poinhabu id tenggara Pulou Timbun Mata |  Podtuhudan potihombus Bangkok- Kota Kinabalu kopoinsavat kotombuhuzan |  25 pelajar Universiti Wuyi China sertai Kursus Kejuruteraan di UMS |  Cuba lepaskan anak ditahan AADK, ayah guna nama parti |  APMM Semporna rampas minyak petrol | 
 BM

MTIB bakal anggotai pasukan petugas khas industri kayu-kayan Sabah

13th July, 2018

KOTA KINABALU: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan dibawa masuk menganggotai pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan industri kayu-kayan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata MTIB akan memainkan peranan penting dalam pasukan petugas khas itu termasuk perbincangan mengenai penyediaan kertas Kabinet untuk mencadangkan agar kerajaan mengharamkan terus pengeksportan kayu balak dari Sabah.

Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata pengharaman sementara pengeksportan kayu balak seperti diumumkan sebelum ini, mungkin perlu diperkuatkan lagi bagi menarik perhatian pelabur luar untuk melabur dalam industri hiliran berasaskan kayu di negeri berkenaan.

“Kita sedang meneliti perkara ini tentang bagaimana untuk menjadikan pengharaman eksport balak ini sebagai kekal. Pengharaman kekal akan memberi banyak keselesaan kepada pelabur dari seluruh dunia untuk datang ke Sabah,” katanya.

Tangau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah MTIB Datuk Jalaluddin Harun. Turut membuat kunjungan hormat ke atas Tangau hari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

Tangau berkata sebelum ini, kerajaan pernah mengharamkan pengeksportan balak di Sabah dan langkah tersebut menarik pelabur luar mengembangkan perusahaan pembuatan perabot mereka di negeri ini, namun pelabur terbabit berdepan masalah bekalan bahan mentah (kayu balak) apabila pengharaman itu ditarik balik.

Justeru, beliau berkata pihaknya melalui pasukan petugas khas berkenaan akan berbincang dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam pengeluaran balak, pemain industri perabot serta MTIB sendiri, dalam menyediakan kertas kerja untuk dibincangkan di Kabinet Negeri.

Katanya pengeluaran industri perabot di negeri ini mengalami penurunan amat ketara tahun demi tahun dan salah satu puncanya ialah ketidakselarasan antara pemain industri dengan bekalan bahan mentah (kayu balak) di Sabah.

Sebagai contoh, beliau berkata pemain industri perabot di Sabah memerlukan bekalan kayu spesis acacia mangium, namun bahan mentah berkenaan di eksport ke Vietnam sehingga menyebabkan kekurangan bekalan untuk industri hiliran tempatan.

Menurut Tangau, pihaknya turut berbincang dengan MTIB berhubung potensi besar Sabah untuk menghasilkan pelbagai produk berasaskan batang kelapa sawit memandangkan Sabah memiliki kawasan seluas 1.55 juta hektar yang ditanam dengan bahan komoditi itu.

Katanya produk berasaskan batang kelapa sawit berpotensi diterokai pelabur memandangkan teknologi berkaitan produk menggunakan bahan mentah itu serta pasarannya sudah tersedia.-Bernama

   
Email Print
   
 
 
E-browse