Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
13 anggota parlimen kerajaan belum isytihar harta: SPRM |  Teach students to hate corruption, says Lee |  'Tackling encroachments first priority' |  Chinese New Year Dragon, Unicorn and Lion Dance Festival Jan 19 |  Sikul Minbuul Sabah ii tiudongon id suang timpu tosomok |  Puu antisusuap Sabah tiudongon papavakas ababazan humavan susuap |  Galoh-Galoh gergasi simbolik perasmian Pesta Kubis |  Ketua PKR Sabah dijangka diputuskan pada 11 Dis ini |  Anwar antara 13 Anggota Parlimen belum isytihar harta |  Percutian enam sekeluarga bertukar tragedi |  Jawatankuasa Anti Rasuah Sabah bakal ditubuh perhebat perangi rasuah |  Delayed SMK Kipouvo construction may start next year |  Sabah PKR may see leadership change – Anwar |  Sabah to set up committee to fight corruption |  13 govt MPs yet to declare assets – MACC | 
 Leisure

Pantai sekitar Kota Kinabalu, percuma tapi cukup bermakna

5th July, 2018

OLEH NOOR ZAFIRA SHAFIE

KOTA Kinabalu dikenali sebagai sebuah bandar hub pembangunan bagi sektor ekonomi dan pelancongan. Ibu negeri Sabah, Negeri di Bawah Bayu ini menyediakan banyak ‘keajaiban’ yang sukar diperoleh di kawasan lain dan boleh dikatakan, ‘Saya berbangga menjadi penghuni di kota raya ini.’

Menelusuri sejarah, bandar ini menjadi pusat perdagangan di bahagian selatan Sabah yang dibuka oleh orang Inggeris.

Menurut sejarah, Jesselton (nama asal Kota Kinabalu) dibuka oleh Syarikat Borneo Utara British Berpiagam atau British North Borneo Charted Company (BNBCC), bermula dengan pembukaan kawasan penempatan di Pulau Gaya.

Rentetan daripada itu, British yang pada masa itu telah memindahkan pusat pentadbiran baru di Gantian, telah berpindah pula ke kawasan Api-Api (kini dikenali sebagai Deasoka) kerana pelabuhan Gantian yang terlalu cetek untuk kapal-kapal Inggeris berlabuh.

Kawasan Api-Api kemudiannya berkembang dan akhirnya di panggil Jesselton.

Sebagai sebuah pusat yang dibangunkan sejak asalnya kerana perdagangan, bandar KK kian berkembang maju dengan adanya pelabuhan, pusat pelancongan, aktiviti kesenian dan kegiatan ekonomi.

Jesselton Point yang terletak di kawasan pantai Kota Kinabalu adalah antara yang menjadi tumpuan para pengunjung tidak kira dari dalam dan luar negara.

Kawasan ini terletak berhampiran Pusat Membeli-belah Suria Sabah dan berada berhadapan Hyatt Regency Hotel. Kawasan tumpuan ini lebih kerap dikunjungi khasnya pada waktu petang sehingga menjelang larut malam.

Lokasi strategik ini turut menjadi tumpuan penggiat seni tanah air dan seni jalanan kerana aktiviti menarik sering kali diadakan seperti pameran, aktiviti seni nyanyian jalanan (busking), jualan cenderamata dan tidak kurang juga yang sering beriadah dan berkelah di situ.

Selain Jesselton Point, lokasi lain yang sering menjadi tumpuan dan percuma adalah Teluk Likas. Kawasan ini yang menjadi tumpuan bagi aktiviti riadah kerana berada berdekatan kawasan bandar.

Kemudahan asas seperti tandas, pondok riadah, kawasan tempat letak kereta, gerai jualan makanan dan minuman, trek pejalan kaki dan berbasikal, taman permainan serta kemudahan bagi tujuan riadah seperti tempat memanggang.

Sebagai sebuah bandar yang terletak berhampiran pantai, pastinya Kota Kinabalu mempunyai banyak lokasi bagi penggemar landskap semulajadi khasnya pemandangan matahari terbenam.

Percuma, pemandangan matahari terbenam yang indah boleh dinikmati di sekitar kawasan Kota Kinabalu, khasnya di kawasan pantai.

Sinario pemandangan indah ini adalah antara keunikan yang membawa banyak pelancong dari luar untuk berkunjung ke Kota Kinabalu.

Selain daripada menikmati masa rehat dan bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan, panorama indah pemandangan matahari terbenam juga seringkali dipotretkan dalam memori berharga pengunjung yang singgah ke bandar ini.

Bagi kaki pancing, kawasan sepanjang jalan trek pejalan kaki/ berbasikal yang bermula dari Teluk Likas sehingga Pusat Konvensyen Kota Kinabalu (KKCC) adalah lokasi utama yang sering dikunjungi.

Jika tiba musim ramai kaki pancing mencuba nasib di kawasan ini, memang agak meriah dan seumpama ada pesta keramaian jika diperhatikan.

Tidak kurang juga yang bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat, kawasan ini adalah tumpuan aktiviti berjoging setiap pagi dan malam.

Kemudahan trek yang disediakan ini adalah hasil daripada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu yang sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan kawasan bandaraya ini terpelihara.

Ada lagi, lokasi legenda yang sejak dulu menjadi tumpuan jika berkaitan pantai di Kota Kinabalu, tidak lain tidak bukan pastinya Pantai Tanjung Aru.

Pantai Tanjung Aru, kira-kira enam kilometer dari pusat bandar adalah lokasi yang digelar lokasi terbaik bagi pencinta pantai khasnya untuk menikmati suasana matahari terbenam.

Adakah anda tahu yang Pantai Tanjung Aru ini juga adalah antara lokasi pembangunan ekonomi, selain pelancongan?

Tanjung Aru turut kian berkembang pesat dari segi pembangunan ekonomi dan banyak pusat komersial yang terletak di kawasan itu, sekaligus berdekatan dengan pantai.

Dahulunya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Terminal Dua (KKIA2) beroperasi di Tanjung Aru namun kini semua operasi telah berpindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Terminal Satu (KKIA1) di kawasan Kepayan.

Paling menarik, sekiranya anda berkunjung atau singgah ke kawasan pantai di sekitar Kota Kinabalu, jangan lupa bawa bersama kelengkapan kamera anda kerana terlalu banyak momen yang harus dirakam dan dibawa pulang.

Bagi saya, tarikan lain di kawasan pantai yang saya selalu nikmati secara percuma adalah susunan batu batu di persisir pantai dan ketam serta siput-siput laut yang akan berjalan di sekitarnya.

Pencinta alam semulajadi yang sukakan keadaan tenang dan tenteram pastinya sukakan keadaan seumpama ini. Rakam detik-detik indah melihat aksi ketam serta siput-siput laut yang gigih ‘mendaki’ timbunan batu-batu di sekitar pantai dan potretkannya sebagai momen indah percuma dari alam kepada anda.

Mungkin bagi anda, melihat ketam dan siput-siput laut ini adalah perkara biasa, namun bagi penghuni yang berada dalam kesibukan kota dan hiruk pikuk yang memenatkan setiap hari, tidak salah sekiranya anda cuba dekati kekayaan alam ini.

Barangkali, anda bakal jatuh cinta dan menjadi penggemar dan pencinta panorama pantai khasnya di sekitar bandar Kota Kinabalu.

Selain itu, udara pantai yang segar turut memberi satu suasana santai yang mungkin agak sukar diperoleh di kawasan lain di bandar ini.

Sebagai penduduk yang bertanggungjawab, pastinya kita juga perlu bekerjasama dan memastikan udara segar ini terpelihara dan dijaga demi kelangsungan alam semula jadi yang berterusan untuk generasi akan datang.

Jika anda berkunjung ke kawasan pantai, bagi aktiviti riadah, pastikan anda menjadi pengguna dan penduduk yang bertanggungjawab dan menjaga kebersihan di kawasan sekitar pantai.

Pastikan semua sampah-sarap seperti plastik dan kertas yang anda gunakan untuk mengisi makanan, atau botol air dibuang ke dalam tong sampah atau dikitar semula.

Sumbangan kecil kita sebagai warga yang bertanggungjawab ini pasti memberi kesan yang amat besar kepada alam semula jadi dan bandar ini.

Anugerah ‘percuma’ yang diberikan Tuhan berupa alam semula jadi adalah untuk kita nikmati dan pelihara bersama. Pantai nadi kehidupan dan membawa makna yang besar bagi bandar ini.

Sama-sama kita jalankan tanggungjawab kita sebagai golongan yang menerima anugerah Tuhan dengan sebaiknya dan menjaga kesejahteraan ini demi kebaikan bersama di masa akan datang.

   
Email Print
   
 
 
E-browse